SHAH ALAM - Pemegang saham terbesar Theta Edge Bhd, Lembaga Tabung Haji (TH) menjual keseluruhan 27.28 peratus pegangan merangkumi 32.18 juta saham dalam syarikat berkenaan pada 2 Januari lalu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat penyelesaian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) itu berkata, transaksi tersebut menandakan pengunduran pengurus dana jemaah haji berkenaan daripada Theta Edge.
Iklan
Iklan
Sehubungan itu, pembeli pegangan tersebut, Stealth Solutions Sdn Bhd kini menjadi pemegang saham terbesar baharu Theta Edge.
Stealth Solutions Sdn Bhd memperoleh jumlah saham yang sama pada hari sama melalui transaksi luar pasaran.
Berdasarkan rekod Bursa Malaysia, TH merupakan pemegang saham utama Theta Edge yang sebelum ini dikenali sebagai Lityan Holdings Bhd sejak 2000.
Selain Stealth Solutions, pemegang saham utama lain Theta Edge ialah Kumpulan Berjaya milik Tan Sri Vincent Tan yang memiliki pegangan sebanyak 15.38 peratus melalui REDtone Digital Bhd.
Dalam kenyataan berasingan di Bursa Malaysia, Theta Edge turut memaklumkan peletakan jawatan Nik Johaan Nik Hashim dan Datuk Dyg Sadiah Abg Bohan sebagai pengarah bukan bebas dan bukan eksekutif.