Kelantan tidak pernah bincang hadkan tempoh jawatan MB

Iklan
Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan tidak pernah membincangkan rang undang-undang (RUU) bagi menghadkan tempoh jawatan Menteri Besar tidak melebihi 10 tahun atau dua penggal penuh, kata Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.

"Selagi individu berkenaan (Menteri Besar) boleh berikan perkhidmatan terbaik dan beliau yang paling baik serta ada kemampuan, boleh teruskan. Tiada masalah.

Iklan
Iklan

"Bagaimanapun, dalam parti Pas, pimpinan pusat yang akan menentukan siapakah paling baik untuk menduduki satu-satu jawatan tertinggi. Sama ada dalam parti atau kerajaan, mereka (pimpinan pusat) akan tentukan," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Menurut beliau, cuma secara khususnya peringkat Kerajaan Kelantan ia masih tidak dibincangkan.

Iklan

Ujarnya, secara umum buat masa sekarang kerajaan negeri hadkan selagi mana individu berkenaan boleh memimpin dengan baik dan ada kemampuan boleh teruskan.

Mohamed Fadzli memberitahu sebagaimana contoh bekas Menteri Besar sebelum ini, Almarhum Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Iklan

"Tengoklah Tok Guru, berapa lama. Deligasi Tok Guru sampai sekarang. Selagi rakyat boleh terima, Alhamdulillah.

"Bagaimanapun kita juga perlu minta pandangan rakyat sebab mereka akan tentukan dalam pilihan raya," katanya.

Media tempatan sebelum ini melaporkan Anwar ketika menyampaikan Amanat Tahun 2026 pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya memaklumkan, RUU bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak melebihi 10 tahun atau dua penggal penuh akan dibentangkan pada sesi Parlimen kali ini.

RUU itu merupakan antara empat perundangan baharu yang akan dibentangkan sebagai hala tuju Parlimen tahun ini.

Ia melibatkan semua jawatan utama termasuk Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang juga tidak boleh melebihi 10 tahun dan turut terpakai kepada Jabatan Perdana Menteri.

Menurut Anwar, sekiranya seseorang diberikan tempoh tertentu dan berjaya melaksanakan tanggungjawab, selepas itu adalah wajar menyerahkan kepada generasi seterusnya.