Cadangan UMNO gabung Pas, cerminan semakin hilang pengaruh - Pemuda Amanah

Iklan
Fadhli Umar

SHAH ALAM – Cadangan Pemuda UMNO agar parti itu bergabung dengan Pas atas alasan kononnya untuk 'menyatukan orang Melayu' serta keluar daripada Kerajaan Perpaduan, jelas mencerminkan kegagalan membaca realiti politik semasa dan keresahan segelintir pihak yang semakin kehilangan pengaruh serta kepercayaan rakyat.

Exco Pemuda Amanah Nasional, Fadhli Umar Aminolhuda berkata, naratif bahawa orang Melayu dan Islam sedang ditindas di bawah pentadbiran Kerajaan Madani bukan sahaja tidak berasas, malah bersifat manipulatif dan berbahaya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, naratif itu sering diulang bukan kerana kebenarannya, tetapi kerana ketandusan hujah untuk mempertahankan kegagalan politik lama yang telah ditolak oleh rakyat.

“Politik ketakutan dan sentimen sempit ini tidak menyelesaikan masalah rakyat, sebaliknya hanya merosakkan keharmonian negara.

Iklan

“Hakikatnya, Kerajaan Madani hari ini terus menjaga kepentingan Melayu dan Islam secara berinstitusi, berhemah dan bertanggungjawab. Atau adakah desakan Pemuda UMNO ini timbul kerana Kerajaan Madani terbukti tidak mengganggu gugat urusan mahkamah dalam isu Datuk Seri Najib dan 1MDB?” soalnya dalam satu kenyataan.

Beliau turut mempersoalkan sama ada gabungan UMNO dan Pas benar-benar membawa perpaduan dengan merujuk kepada Amanat Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menurutnya masih belum ditarik balik sehingga kini.

Iklan

“Amanat itu meninggalkan luka mendalam dalam masyarakat, mengkafirkan sesama Muslim, memecah-belahkan keluarga dan memporak-perandakan perpaduan umat,” ujarnya.

Terdahulu, Pemuda UMNO menyatakan kesediaan untuk menjadi jambatan penyatuan bagi menghidupkan semula hubungan kerjasama antara parti itu dan Pas.

Ketuanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, cadangan itu mendapat maklum balas positif daripada Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari, serta Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden.

Tambah Fadhli Umar, sejarah perpecahan itu tidak boleh dipadamkan semata-mata demi kelangsungan kuasa politik.

“Apakah UMNO sanggup menormalisasikan semula politik takfiri, kebencian dan perpecahan yang terbukti merosakkan masyarakat hanya demi survival politik jangka pendek?

“Bahkan konflik dalam Kerajaan Perlis membuktikan bahawa parti-parti Melayu-Islam sendiri yang gagal bersatu dan bertelagah sesama sendiri hingga menyebabkan kejatuhan Menteri Besar Pas dan bukan disebabkan oleh DAP atau mana-mana parti bukan Melayu,” jelasnya.

Beliau menegaskan bahawa perpaduan yang dibina atas dasar ketakutan, kebencian dan sentimen perkauman bukanlah perpaduan sebenar, sebaliknya hanya menangguhkan konflik yang lebih besar.

“Jika itu jalan yang ingin dipilih oleh Pemuda UMNO dan sekutunya, maka biarlah rakyat menjadi hakim.

“Namun, Amanah dan Pakatan Harapan akan kekal konsisten membawa politik rahmah politik yang menyatukan, mendamaikan dan membina negara untuk semua warganya.

“Kami tidak akan tunduk kepada politik retorik dan kebencian. Fokus kami kekal kepada kestabilan negara, reformasi berterusan dan kebaikan bersama demi masa depan Malaysia,” katanya.