Dr Akmal hargai kesediaan Ahmad Zahid teliti kerjasama

Iklan
Dr Muhamad Akmal

SHAH ALAM – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh merakamkan penghargaan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas kesediaan meneliti kerjasama politik susulan beberapa usul yang dibangkitkan pada Konvensyen Khas Pemuda tempoh hari.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, parti boleh memulakan langkah dengan meneliti bentuk kerjasama yang sesuai demi penyatuan orang Melayu, dan menyifatkan masa ini sebagai waktu yang tepat untuk memulakan usaha tersebut.

Iklan
Iklan

“Terima kasih Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana bersetuju dengan beberapa usul daripada Konvensyen Khas Pemuda tempoh hari.

“Pertama, kerjasama penyatuan orang Melayu dimulakan dengan dua parti terbesar orang Melayu, iaitu UMNO dan Pas. Kedua, menolak mana-mana cadangan untuk ‘tebuk atap’ kerajaan sedia ada,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Selasa.

Iklan

Terdahulu, media melaporkan UMNO tidak mahu mengulangi kesilapan lalu dalam menjalin kerjasama dengan mana-mana parti pembangkang ketika ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, setiap keputusan yang bakal dibuat akan diteliti secara menyeluruh dan berhati-hati bagi mengelakkan UMNO 'dipatuk oleh ular yang sama buat kali kedua di tempat yang sama'.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada UMNO dan Pas akan kembali bekerjasama di bawah payung Muafakat Nasional (MN) seperti sebelum ini.

Ahmad Zahid turut memaklumkan bahawa resolusi yang dibentangkan oleh Ketua Pemuda UMNO telah dikemukakan dalam Mesyuarat Biro Politik pada Isnin dan telah dibincangkan secara terbuka, namun tiada keputusan muktamad dicapai.

Pada Sabtu lalu, Muhamad Akmal membawakan dua usul dalam Konvensyen Khas Pemuda UMNO, iaitu agar parti kembali bekerjasama dengan Pas dan menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan serta berperanan sebagai pembangkang.