KKDW gariskan lima fokus asas pembangunan desa tahun ini

Iklan
Ahmad Zahid menyampaikan ucapan pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 KKDW di Dewan Seri Lestari pada Selasa. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menggariskan lima fokus utama yang menjadi asas kepada perancangan dan pelaksanaan program pembangunan desa tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, lima fokus utama itu ialah People, Place, Productivity, Prosperity dan Prophetic (5P), bertujuan memastikan kemajuan luar bandar yang mampan, berteraskan nilai dan berpaksikan rakyat.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, People dengan mobiliti sosial dijadikan teras utama pembangunan desa bermula daripada pemerkasaan manusia. 

"Pembangunan desa mesti bermula dengan manusia. Belia desa tidak boleh terus mewarisi keterbatasan, sebaliknya mesti mewarisi peluang yang luas terhidang. Wanita, orang kurang upaya dan golongan rentan perlu diberi ruang, kemahiran dan kepercayaan untuk membina kehidupan lebih berdaya tahan," katanya pada majlis Amanat Tahun Baharu 2026 KKDW di sini pada Selasa.

Iklan

Ahmad Zahid berkata, fokus kedua adalah Place yang melihat desa sebagai kluster pertumbuhan baharu negara dengan pembangunan hab pelaburan desa dijadikan gagasan strategik yang dipacu oleh data dan teknologi, manakala Productivity pula memberikan tumpuan kepada pendapatan stabil dan berterusan melalui usaha menaikkan skala usahawan desa. 

Beliau berkata, inisiatif ini melibatkan pengukuhan kemahiran pengurusan, pendigitalan, inovasi produk, penjenamaan, serta peluasan akses kepada pembiayaan dan rantaian nilai.

Iklan

Ahmad Zahid berkata, fokus keempat adalah Prosperity yang menekankan aspek kesejahteraan dan Prophetic berasaskan nilai kepimpinan Rasulullah SAW sebagai pedoman dalam membangunkan desa.

"Insya-Allah, apabila 5P ini diterapkan dengan hala tuju jelas dan niat yang ikhlas, pembangunan desa tidak hanya diukur melalui angka dan laporan tetapi melalui kehidupan lebih bermaruah, harapan kembali menyala, dan keyakinan rakyat bahawa mereka tidak pernah dilupakan," katanya.

Ahmad Zahid berkata, pembangunan desa perlu diurus dengan minda korporat bagi memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan memberi pulangan nilai kepada rakyat. 

"Ia menuntut kecekapan, keputusan yang pantas, peranan dan garis masa jelas supaya apa kita lakukan bukan sekadar memenuhi tanggungjawab sosial, tetapi memberikan hasil nyata yang boleh diukur dan memberi nilai langsung kepada rakyat," katanya.

Menurut beliau, satu platform pemikiran strategik akan diwujudkan yang berfungsi sebagai think tank atau pusat penyelidikan desa agar menjadi rujukan dasar yang memandu gerak kerja kementerian secara lebih berfokus dan berasaskan bukti, di samping berperanan mendokumentasikan pencapaian desa melalui penerbitan jurnal, laporan dan buku untuk tatapan umum.

Sementara itu, selaras dengan pengisytiharan Hari Pembangunan Luar Bandar Sedunia pada 6 Julai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ahmad Zahid berkata Malaysia akan memperkenalkan sambutan yang sama tahun ini. 

"Saya mahu sambutan ini selain mempromosi pembangunan luar bandar, ia juga perlu merangkumi aspek inovasi komuniti, pendigitalan desa dan pembangunan usahawan," katanya. - Bernama