SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan kadar dividen masing-masing 6.15 peratus untuk simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah bagi tahun berakhir 31 Disember 2025.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, berkata jumlah agihan bagi Simpanan Konvensional membabitkan RM67.1 bilion dan RM12.5 billion untuk Simpanan Shariah.
Beliau menambah, keseluruhan jumlah agihan pendapatan untuk 2025 adalah RM79.6 bilion.
“Bagi tahun berakhir 31 Disember 2025, KWSP mencatatkan jumlah pendapatan boleh agih sebanyak RM82.7 bilion, meningkat 9.5 peratus berbanding RM75.5 bilion pada tahun 2024.
“Aset pelaburan meningkat kepada RM1.409 bilion, naik 12.8 peratus daripada RM1.25 bilion, didorong oleh pendapatan portfolio serta jumlah caruman bersih sebanyak RM66.5 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Taklimat Prestasi Kewangan KWSP di Menara KWSP, Kwasa Damansara di sini pada Sabtu.
Ujarnya, pengkreditan dividen bagi kedua-dua simpanan berkenaan akan selesai pada Ahad (1 Mac).
Ahli katanya, boleh menyemak akaun mereka melalui i-Akaun atau mendapatkan penyata di Terminal Layan Diri (SST) KWSP di seluruh negara.
Mengulas lanjut, Ahmad Zulqarnain berkata, pihaknya berbesar hati dengan catatan prestasi yang memberangsangkan itu, meskipun berdepan persekitaran yang tidak menentu berikutan dasar perdagangan yang sukar diramal.
Menurutnya, pasaran ekuiti yang berdaya tahan menjadi pemacu utama pendapatan KWSP, disokong oleh pulangan stabil daripada pendapatan tetap dan kepelbagaian portfolio yang kukuh.
“Pencapaian ini mencerminkan pendekatan jangka panjang kami dalam melindungi simpanan ahli bagi memastikan pulangan yang mampan,” katanya.
Beliau menambah, meskipun berdepan tekanan tarif dan perkembangan geopolitik, ekonomi global kekal kukuh pada tahun lalu.
“Inflasi yang semakin terkawal membolehkan bank-bank pusat utama melonggarkan dasar monetari, sekali gus mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif untuk pelabur jangka panjang,” katanya.
KWSP mengisytiharkan kadar dividen tahun 2024 sebanyak 6.3 peratus bagi akaun simpanan konvensional dan syariah.
Kadar dividen bagi 2023 pula masing-masing 5.5 peratus dan 5.4 peratus untuk simpanan konvensional dan simpanan syariah.