'Sekarang bukan masa sesuai UMNO tinggalkan Kerajaan Perpaduan'

Iklan
Penganalisis politik menegaskan UMNO tidak wajar keluar daripada Kerajaan Perpaduan ketika ini demi kelangsungan strategi pilihan raya dan kestabilan parti, meskipun desakan keras dibuat oleh Pemuda UMNO - Gambar kecil Mohammad Tawfiq (kiri), Hussain Yusri

SHAH ALAM – Sekarang bukan tempoh yang sesuai untuk UMNO meninggalkan Kerajaan Perpaduan sekiranya parti itu ingin memastikan kekuatan dan pemulihan dapat dilakukan bagi menghadapi beberapa siri Pilihan Raya Negeri (PRN) serta Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfiq Yaakub berkata, sebarang tindakan yang ingin diambil perlu bersandarkan kepada pertimbangan menyeluruh dan bukannya dipandu emosi semata-mata.

Iklan
Iklan

“Saya berpandangan ini bukan masa yang sesuai untuk UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan. Dalam politik, untuk berdepan pilihan raya memerlukan jentera dan dana bagi memastikan momentum dapat dijana supaya mampu menang bergaya.

“Jadi, tidak sepatutnya UMNO meninggalkan Kerajaan Perpaduan. Malah, berada dalam kerajaan juga mampu memastikan hal ehwal rakyat dan orang Melayu dapat dijaga,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, pada Sabtu, dilaporkan menggesa parti itu menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan dan kembali menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) bersama Pas.

Berucap dalam Konvensyen Khas Pemuda UMNO, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu turut mencadangkan agar parti memilih untuk berada di blok pembangkang sekiranya mengambil keputusan keluar daripada kerajaan sedia ada.

Iklan

Ditanya sama ada terdapat isyarat tertentu yang cuba disampaikan oleh ketua sayap pemuda parti berkenaan berdasarkan gesaan keras itu, Mohammad Tawfiq tidak menolak kemungkinan Dr Muhamad Akmal ingin mencipta momentum sokongan orang Melayu yang kian merosot ketika ini.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Hussain Yusri Zawawi pula berkata, gesaan agar UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan mungkin lahir daripada semangat idealisme dan keresahan akar umbi.

Namun katanya, dari sudut politik sebenar dan kepentingan, langkah tersebut masih belum bersifat strategik.

“Gesaan keras Pemuda UMNO ini sebenarnya lebih wajar dibaca sebagai isyarat politik dalaman berbanding pelan tindakan segera. Ia mencerminkan suara generasi muda parti yang ingin melihat UMNO kembali kepada identiti asal sebagai parti dominan Melayu yang lebih tegas dan berani serta tidak dilihat sekadar ‘penumpang’ dalam Kerajaan Perpaduan.

“Pada masa sama, ia juga merupakan tekanan politik kepada kepimpinan tertinggi agar tidak terlalu selesa dengan kuasa, sebaliknya mempercepatkan proses reformasi dalaman dan penstrukturan semula parti. Dalam bahasa politik, ini merupakan bentuk bargaining signal (isyarat tawar-menawar), bukan semestinya keputusan muktamad,” katanya.

Beliau menambah, dari sudut kebijaksanaan politik, tindakan UMNO meninggalkan kerajaan pada ketika ini boleh dianggap berisiko tinggi memandangkan parti itu mempunyai wakil dalam Kabinet serta memegang beberapa jawatan strategik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Ujarnya, kedudukan tersebut bukan sekadar simbol kuasa, tetapi juga ruang institusi untuk mempengaruhi dasar, menyalurkan perkhidmatan kepada rakyat dan mempamerkan keupayaan tadbir urus.

“Sekiranya UMNO memilih untuk keluar daripada kerajaan, parti tersebut bukan sahaja kehilangan akses kepada proses pembuatan dasar, malah berdepan risiko dilihat tidak konsisten dan tidak stabil dalam membuat keputusan strategik.

“Dalam konteks politik pasca-PRU15 yang menuntut kestabilan nasional, tindakan sedemikian boleh menghakis lagi keyakinan rakyat dan pengundi,” katanya.