KUALA LUMPUR – Presiden Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS), Laksamana Madya Datuk Sabri Zali digesa direhatkan sementara daripada tugas bagi memberi laluan kepada siasatan susulan dakwaan salah laku yang dikaitkan dengan beliau.
Aktivis Pembela Tanah Air (PETA), Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard berkata, gesaan itu dibuat bagi memastikan sebarang siasatan dapat dijalankan secara bebas tanpa sebarang persepsi, pengaruh atau gangguan.
"Langkah merehatkan sementara pegawai kanan berkenaan bukan bertujuan menghukum mana-mana pihak, sebaliknya bagi menjaga integriti institusi pertahanan serta keyakinan rakyat terhadap badan terbabit.
"Sekiranya ada siasatan yang sedang berjalan atau bakal dijalankan, lebih wajar beliau direhatkan sementara supaya proses itu boleh berjalan secara telus dan bebas,ini bukan soal peribadi, tetapi soal kepercayaan rakyat," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, Badrul Hisham turut mempersoalkan tindakan pegawai berkenaan yang sebelum ini mengadakan sidang akhbar di premis tentera dengan berpakaian seragam bagi menjawab isu yang disifatkannya sebagai dakwaan bersifat peribadi.
Beliau berkata, perkara tersebut sepatutnya ditangani sebagai individu awam tanpa mengheret institusi pertahanan ke dalam polemik berkenaan.
Badrul Hisham juga mendakwa memiliki rakaman video yang menunjukkan berlakunya penyalahgunaan kuasa, termasuk penggunaan anggota beruniform bagi melakukan pemeriksaan untuk mengesan kewujudan rakaman video dan audio serta peranti penjejak sistem kedudukan sejagat (GPS) milik seorang wanita yang didakwa mempunyai hubungan dengan pegawai terbabit.
Bagaimanapun, katanya, semua dakwaan itu wajar diserahkan dan diselesaikan melalui saluran undang-undang serta tatatertib yang sewajarnya.
"Matlamat saya adalah untuk memastikan integriti institusi pertahanan tidak terjejas akibat isu peribadi mana-mana individu,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Sabri menafikan sekeras-kerasnya semua tuduhan yang dilemparkan terhadap beliau dan menyifatkannya sebagai tidak benar, mengelirukan serta berunsur fitnah serius.
Peguamnya, Muhammad Firdaus Jumaluddin yang bertindak sebagai jurucakap diberi kuasa berkata, tuduhan berkenaan bukan sahaja tidak berasas malah turut membabitkan Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara keseluruhannya.
Menurut beliau, sehingga kini Sabri tidak pernah disabitkan dengan sebarang kesalahan dan tidak pernah didapati bersalah atas kes rasuah, penyalahgunaan kuasa atau salah laku oleh mana-mana pihak berkuasa yang berwibawa.
Beliau berkata, sebarang dokumen yang diperoleh secara tidak sah, dipetik di luar konteks, dipilih secara selektif atau terbuka kepada pengubahsuaian dan manipulasi tidak boleh dianggap sebagai bukti salah laku atau sokongan terhadap sebarang kesalahan.
Dalam pada itu, Sabri mengekalkan sepenuhnya semua hak undang-undang beliau, termasuk hak untuk mengambil tindakan sivil terhadap mana-mana individu atau pihak yang menerbitkan atau mengulang siar kenyataan berunsur fitnah.
Menurut beliau lagi, penyebaran tuduhan yang belum disahkan berpotensi mencemarkan reputasi individu, menjejaskan keyakinan awam serta membawa kepada ketidakadilan serius.
Sehubungan itu katanya, semua pihak diminta supaya memberi ruang kepada proses undang-undang yang sewajarnya dan menghentikan penyebaran dakwaan tidak berasas atau berniat jahat.