Banjir Kepulauan Sitaro: 11 maut, lima masih hilang

Iklan
Banjir kilat di Kepulauan Sitaro, Sulawesi Utara meragut 11 nyawa dengan lima lagi dikhuatiri hilang. Foto BNPB

JAKARTA - Banjir kilat yang melanda Kepulauan Sitaro di Sulawesi Utara, Indonesia pada Isnin meragut 11 nyawa, manakala lima lagi masih dikhuatiri hilang setakat pagi Selasa.

Ketua Data, Maklumat dan Komunikasi Bencana, Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB), Abdul Muhari berkata, daripada jumlah kematian itu, enam mayat telah dikenal pasti manakala baki lima lagi masih dalam proses pengumpulan data.

Iklan
Iklan

"Sehingga malam semalam, lima orang masih hilang atau dalam pencarian. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) belum diteruskan kerana terhalang cuaca buruk iaitu hujan lebat yang berpotensi menyebabkan banjir dan tanah runtuh susulan di lokasi bencana.

"Operasi SAR akan segera disambung hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Iklan

Banjir kilat yang dicetuskan oleh hujan lebat berpanjangan itu menyebabkan jalan raya dilitupi batu dan lumpur serta menenggelamkan kawasan perumahan berhampiran.

BNPB memaklumkan empat daerah terjejas iaitu Siau Timur, Siau Tenggara, Siau Barat dan Siau Barat Daya.

Iklan

Setakat pagi Selasa, banjir itu menjejaskan 143 keluarga, melibatkan 444 penduduk yang terpaksa dipindahkan ke pusat perlindungan sementara.

Abdul Muhari berkata, sebagai tindak balas terhadap situasi kecemasan itu, kerajaan tempatan  mengisytiharkan status darurat bencana selama 14 hari, berkuat kuasa mulai Isnin.

Beliau turut memaklumkan yang air banjir surut menjelang tengah hari Isnin, namun bekalan elektrik dan rangkaian telekomunikasi di kawasan terjejas masih terganggu. - Bernama