Penuntut UniSZA maut: Suspek pecut laju Honda Jazz selepas ceroboh Honda City, curi wang

Iklan
Seorang pelajar UniSZA maut selepas kereta Perodua Viva dipandunya dirempuh kenderaan lain di lampu isyarat berhampiran pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), di sini pada Isnin. Foto Bernama. Gambar kecil: Asisten Komisioner Azli Mohd Noor

KUALA TERENGGANU – Pemandu Honda Jazz yang terlibat dalam kemalangan maut di persimpangan lampu isyarat Jalan Kemajuan di sini pada Isnin lalu dipercayai memecut laju kenderaannya selepas menceroboh sebuah kereta yang diparkir berdekatan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS).

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, suspek lelaki berusia 32 tahun itu disyaki menceroboh masuk ke dalam kereta jenis Honda City sebelum terlibat kemalangan.

Iklan
Iklan

"Sebelum kemalangan, suspek disyaki menceroboh masuk ke dalam sebuah Honda City yang diparkir dan mencuri beberapa barangan termasuk wang tunai berjumlah RM200 milik pemilik kenderaan berkenaan.

"Selepas itu, suspek masuk semula ke dalam Honda Jazz dan memecut laju sebelum terlibat dalam kemalangan yang meragut nyawa pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Iklan

Menurut beliau, pemilik Honda City berkenaan telah membuat laporan polis berkaitan kejadian itu bagi membantu siasatan.

Sementara itu, pemilik Honda City, Mohd Hanafi Mamat, 29, ketika dihubungi pemberita menafikan dakwaan kononnya kenderaan miliknya terlibat dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat tersebut.

Iklan

Beliau berkata, terdapat beberapa kekeliruan berhubung kes itu dan beliau ingin menjelaskan fakta sebenar bagi mengelakkan salah faham serta penyebaran maklumat tidak tepat.

Menurutnya, pada hari kejadian, beliau secara tidak sengaja tertinggal kunci kereta dan beberapa barangan peribadi di dalam Honda City miliknya yang diparkir di sebelah stadium berhampiran Wisma Darul Iman, di sini.

"Apabila saya kembali ke kereta pada tengah hari, saya dapati kunci, dompet kad serta sejumlah wang tunai yang ditinggalkan di dalam kereta telah hilang.

"Daripada rakaman kamera papan pemuka (dashcam) serta semakan CCTV, terdapat seorang individu memasuki kereta saya dan mengambil beberapa barangan peribadi.

"Tetapi, kereta saya tidak dibawa atau dicuri," katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa video kemalangan yang tular melibatkan individu sama yang menceroboh kenderaannya sebelum kejadian, namun Honda City miliknya tidak terlibat dalam kemalangan tersebut.

"Kereta yang terlibat ialah Honda Jazz milik adik individu berkenaan. Saya tiada sebarang kaitan dengan kemalangan itu," katanya.

Isnin lalu, Sinar Harian melaporkan Syakirah Hanan Mazli, 25, yang juga Pelajar Semester 2, Diploma Pascasiswazah Pendidikan di Fakulti Pengajian Islam Kontemporari UniSZA maut di lokasi kejadian selepas Perodua Viva dipandu dirempuh Honda Jazz dalam kejadian kira-kira jam 1.35 petang.

Jenazah Allahyarham yang selesai menjalani proses bedah siasat kira-kira jam 10.45 malam di Jabatan Perubatan Forensik HSNZ selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kubur Besar Kuala Bedah di sini sekitar jam 12.30 tengah malam pada Isnin.