KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Hulu Langat, Mohamad Shafiq Abdul Halim mendedahkan satu dokumen lejar didakwa mengandungi rekod transaksi kewangan melibatkan penerimaan wang tunai dan aset mewah berjumlah RM1.1 juta oleh seorang ketua bahagian parti.
Mohamad Shafiq berkata, susulan itu beliau akan membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan berhubung kesahihan dokumen berkenaan dan meneliti sama ada wujud unsur rasuah atau pecah amanah.
"Dokumen itu dipercayai daripada sebuah syarikat yang terlibat dengan Program Jana Wibawa yang ketika ini sedang dibicarakan di mahkamah berhubung kes satu projek bernilai RM232 juta," katanya dalam satu sidang akhbar di sebuah restoran, di sini pada Selasa.
Ujar Mohamad Shafiq yang juga bekas Ketua Biro Penyelidikan dan Analisis Data Penerangan Bersatu Selangor, antara yang direkodkan dalam lejar itu didakwa melibatkan pemberian wang tunai berjumlah RM774,500, dua unit telefon bimbit, dua buah komputer riba, sebuah kenderaan jenama tempatan dan sebuah lagi kereta mewah yang keseluruhannya bernilai kira-kira RM1.1 juta.
Beliau berkata, dokumen berkenan turut didakwa mengandungi butiran seperti nombor cek dan nama individu lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes yang sedang dibicarakan di mahkamah ketika ini.
Sehubungan itu, Mohamad Shafiq menegaskan, penyerahan dokumen berkenaan kepada pihak berkuasa dibuat bagi membolehkan siasatan bebas dan menyeluruh dijalankan, tanpa sebarang niat untuk menuduh mana-mana pihak.
“Saya juga ingin memaklumkan bahawa salinan dokumen lejar dan bahan sokongan lain telah diserahkan kepada pihak berkuasa sebagai bukti awal.
"Saksi yang menyerahkan dokumen ini juga turut menawarkan diri bagi membantu siasatan pihak PDRM dan SPRM,” ujarnya.