[VIDEO] Berani tegur kepimpinan, Chegubard jadi sasaran serangan parti

Iklan

KUALA LUMPUR – Aktivis Pembela Tanah Air (PETA), Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard mengakui kecewa dan terkejut apabila menjadi sasaran serangan pihak dalam parti sendiri susulan teguran terbuka yang dibuatnya terhadap kepimpinan parti.

Menurutnya, teguran itu hanya bertujuan menggesa pimpinan keluar daripada zon selesa dan benar-benar memperjuangkan isu rakyat, namun ia disalah tafsir sehingga beliau dianggap musuh dalam parti.

Iklan
Iklan

“Saya kecewa dan terkejut kerana diserang oleh orang dalam parti sendiri.

"Pada pandangan mereka, ‘dosa besar’ saya hanyalah kerana memberi teguran supaya pimpinan tidak selesa dan berani menjadi juara isu rakyat,” katanya dalam sidang akhbar di sini pada Selasa.

Iklan

Beliau menjelaskan, teguran tersebut diulang kerana ketika berhadapan masyarakat, persoalan yang sering dibangkitkan adalah kelemahan pembangkang yang dilihat lambat dan tidak berkesan.

Namun katanya, wujud budaya dalam parti yang menganggap kritikan sebagai ancaman sehingga pengkritik ditekan, dikenakan tindakan disiplin dan diancam pemecatan.

Iklan

Badrul Hisham turut mendedahkan tekanan yang didakwanya dialami, termasuk kehadirannya ke Balai Polis Dang Wangi serta ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurutnya, kehadiran beliau ke SPRM adalah atas jemputan Ketua Pesuruhjaya, Tan Sri Azam Baki dan disaksikan beberapa rakan media termasuk media arus perdana.

“Saya hadir kerana beliau mempunyai kuasa siasatan yang luas. Kita lihat bagaimana siasatan terhadap Tun Daim Zainuddin dijalankan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, sebelum sebarang siasatan dimulakan, beliau membacakan perenggan satu hingga enam pendedahan yang dikenali sebagai Operasi Sun Tzu dan menyerahkan laporan rasmi kepada SPRM.

Katanya, pendedahan itu dibuat berasaskan maklumat dan bukti membabitkan dakwaan rasuah bernilai jutaan ringgit, melibatkan seorang individu serta seorang ahli perniagaan yang memperoleh projek pembekalan kerajaan.

Menurutnya, ahli perniagaan tersebut didakwa menyerahkan wang dan meminta pengesahan, namun apabila perkara itu gagal dipenuhi, surat hasrat (LOI) daripada Kementerian Kewangan dibatalkan dan projek berkenaan diberikan kepada sebuah syarikat bermasalah.

“Ketika ini, ahli perniagaan tersebut sedang menyaman Kementerian Kewangan, manakala syarikat yang menerima projek itu pula berdepan pendakwaan jenayah berkaitan pemalsuan dokumen Bumiputera,” katanya.

Beliau bagaimanapun mempersoalkan, mengapa pendedahan serius yang dibuat di hadapan SPRM dan disaksikan ramai pengamal media tidak mendapat liputan sewajarnya.

“Saya Ketua Bahagian Bersatu yang mendedahkan isu kepentingan awam tetapi ia tidak menjadi tajuk utama berita. Kes-kes seperti ini digunakan oleh rejim untuk mengikat pimpinan politik,” dakwanya.

Menurutnya, individu atau parti yang cuba bergerak lebih aktif akan ditekan dan ‘dipegang’ sekiranya bertindak tanpa restu.

“Itu realiti yang sedang berlaku,” katanya.

Beliau turut mendedahkan, pengesanan transaksi kewangan membabitkan seorang pimpinan parti dengan sebuah syarikat berkaitan Jana Wibawa, selain menyentuh masalah kewangan serius di peringkat akar umbi, termasuk calon-calon di Sabah yang berdepan kekangan dana.

Dalam masa sama, beliau mempersoalkan rampasan jutaan ringgit melibatkan bekas Timbalan Ketua Bahagian.

“Jika atas nama perjuangan, wang itu sepatutnya dimasukkan ke akaun parti atau diagihkan secara telus, tetapi perkara itu tidak berlaku,” katanya.

Sehubungan itu, Badrul Hisham menegaskan, presiden parti perlu tampil membersihkan keadaan dan tidak menyalahkan pihak lain.

“Saya menjadi sasaran serangan apabila bersuara, termasuk penghinaan terhadap keluarga. Kita sedang berdepan dengan satu rejim dan harapan rakyat kini berada di bahu kita,” katanya.