BATU PAHAT - Seorang daripada dua nelayan yang dilaporkan hilang selepas turun ke laut pada Jumaat lalu di perairan Sungai Dulang, berhampiran Jeti Sungai Tongkang ditemukan lemas pagi Selasa.
Mayat mangsa, Mohd Saiful Azli Ahmad, 45, ditemukan seorang nelayan yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) di perairan Pantai Sarang Burung, kira-kira jam 9.16 pagi.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, mayat mangsa ditemui di kawasan antara Perpat dan Punggur iaitu kira-kira dua kilometer dari lokasi bot mangsa dijumpai.
Menurutnya, mangsa ditemui dalam keadaan terlentang dan tersepit pada kayu bakau.
“Nelayan terbabit kemudian menghubungi pasukan penyelamat dan mayat mangsa dibawa ke Jeti Sungai Tongkang menggunakan bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Proses pengecaman awal dilakukan oleh ahli keluarga iaitu adiknya, Nur Syazalina Ahmad, 27, yang mengesahkan mayat tersebut adalah abangnya.
"Ia berdasarkan keadaan fizikal, pakaian, dokumen diri dan telefon bimbit yang dijumpai bersama mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk proses bedah siasat dan siasatan lanjut.
Sebelum itu, Mohd Saiful Azli bersama rakannya, Mohd Fadzli Mesran, 41, dilaporkan hilang selepas keluar memeriksa bubu udang dan memancing kira-kira 800 meter dari Jeti Sungai Tongkang, sekitar jam 6 petang, Jumaat lalu.
Kedua-dua nelayan itu sepatutnya pulang ke rumah antara jam 9 hingga 10 malam pada hari sama sebelum kehilangan mereka disedari ahli keluarga pada keesokan harinya.
Usaha mencari mangsa pada awalnya dilakukan ahli keluarga di sekitar kawasan Punggur, namun tidak berhasil sebelum bot mereka ditemukan di Jeti Sungai Tongkang.
Susulan itu, satu laporan polis dibuat pada Sabtu dan operasi SAR digerakkan pada hari berikutnya.