Pemenang gesa tubuh Suruhanjaya Khas Pendidikan Negara tangani buli, jenayah sekolah

Iklan
Pemenang menggesa kerajaan menerusi KPM menubuhkan Suruhanjaya Khas Pendidikan Negara bagi mengkaji secara menyeluruh dan mencadangkan langkah tuntas menangani isu buli dan jenayah yang semakin berleluasa dalam kalangan pelajar sekolah. - Foto kecil: Mohd Yussof

GEORGE TOWN – Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) menggesa kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan (KPM) menubuhkan Suruhanjaya Khas Pendidikan Negara bagi mengkaji secara menyeluruh dan mencadangkan langkah tuntas menangani isu buli dan jenayah yang semakin berleluasa dalam kalangan pelajar sekolah.

Presidennya, Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata, sudah tiba masanya kerajaan mengambil langkah proaktif memandangkan sekolah seharusnya menjadi tempat paling selamat untuk pelajar menuntut ilmu, bukannya medan keganasan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, KPM perlu memandang serius isu pelajar yang bertindak ganas dan membuli sehingga mengakibatkan kecederaan, malah ada kes membawa kepada kematian, lebih-lebih lagi apabila kejadian tersebut berlaku dalam kawasan sekolah.

“Situasi ini amat membimbangkan kerana ia memberi kesan besar terhadap pembangunan modal insan negara dalam beberapa tahun akan datang sekiranya tidak ditangani secara menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Beliau menambah, menyerahkan kes-kes buli dan keganasan kepada pihak berkuasa tanpa pelan pencegahan yang komprehensif bukan penyelesaian jangka panjang dan boleh menjejaskan masa depan negara.

Sehubungan itu, beliau menegaskan suruhanjaya khas yang dicadangkan perlu dianggotai oleh tenaga pakar dan profesional dalam bidang pendidikan bagi membolehkan kajian menyeluruh serta pengumpulan data terperinci dilaksanakan.

Iklan

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Yussof berkata, Pemenang bersama Ikatan Kelab-kelab Melayu Pulau Pinang (Ikatan) menerusi Konvensyen Pendidikan pada 6 Disember lalu telah merumuskan dua usul utama.

Ia berkaitan keselamatan pelajar di sekolah yang didapati tidak lagi terjamin dan kegagalan penghayatan prinsip Rukun Negara dalam kalangan pelajar.

Menurut Mohd Yussof, kelemahan dalam penghayatan Rukun Negara turut menyumbang kepada rapuhnya perpaduan kaum di negara ini sehingga kerajaan terpaksa mengawal isu sensitif melibatkan agama, kaum dan institusi diraja (3R).

“Punca utama ialah prinsip Rukun Negara tidak benar-benar menyerap dalam jiwa rakyat, menyebabkan masih ada yang tidak setia kepada raja dan negara, tidak menghormati keluhuran Perlembagaan dan tidak mematuhi kedaulatan undang-undang,” katanya.

Justeru, beliau menggesa KPM mengkaji semula pendidikan sivik termasuk kaedah pedagogi terbaik bagi memastikan murid benar-benar memahami dan menghayati prinsip Rukun Negara sebagai asas perpaduan negara.

"Kegagalan memupuk keharmonian dan sikap saling menghormati antara kaum akan menjadikan perpaduan negara rapuh serta mudah dieksploitasi oleh anasir luar yang mahu melihat Malaysia menjadi negara gagal," ujarnya lagi.