KUALA TERENGGANU –"Kenapa kereta tu langgar teacher?"
Itu soalan yang sering dilontarkan seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun selepas mengetahui guru kesayangannya maut dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sini pada Isnin.
Ibu kanak-kanak berkenaan, Mira Rozaliya Mohamad Rozaini, 34, berkata, anaknya, Hana Melissa Ahmad Hariz, amat rapat dengan Allahyarham Syakirah Hanan Mazli walaupun arwah bukan guru kelasnya di Tadika Zahir Annur, di Batu Buruk di sini.
Menurutnya, Hana yang bakal melangkah ke Tahun 1 pada sesi persekolahan baharu nanti selalu menyebut nama arwah kerana kerap berinteraksi dalam pelbagai aktiviti harian di tadika.
"Arwah antara guru paling awal sampai ke tadika. Biasanya pagi-pagi dialah yang sambut Hana turun dari kereta. Arwah sangat baik, sentiasa senyum, bercakap lembut dan penuh sopan.
"Saya sendiri masih rasa seperti mimpi apabila mendapat tahu arwah terlibat dalam kemalangan," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.
Mira berkata, ketika kejadian beliau berada di tempat kerja dan hanya mengetahui kemalangan berlaku tanpa menyedari individu terlibat ialah guru anaknya.
"Bila gambar arwah mula tersebar, barulah saya tahu. Saya terus hubungi pengetua tadika untuk kepastian dan ternyata memang Teacher Syakirah yang terlibat," katanya.
Menurut Mira, Hana mengetahui mengenai kemalangan tersebut daripada sepupunya yang berkongsi maklumat dalam kumpulan keluarga.
Katanya, sebaik bapa Hana pulang ke rumah, anaknya terus bertanya sama ada benar kereta guru kesayangannya dilanggar dan arwah mengalami kecederaan.
"Apabila diberitahu teacher Hana telah meninggal dunia dan berada di hospital, dia terus menangis dan memeluk ayahnya. Dia cakap dia sayang teacher dan mahu berjumpa.
"Kami hanya bawa lalu di kawasan masjid kerana terlalu ramai orang. Hana menonton siaran langsung pengebumian sehingga selesai," katanya.
Mira berkata, sehingga kini anaknya masih tidak berhenti bertanya mengapa kemalangan itu berlaku dan soalan tersebut sering diulang termasuk sebelum tidur.
"Walaupun dia masih kecil, kehilangan itu sangat dirasai. Soalan dia juga sangat menyentuh perasaan kami sebagai ibu bapa," katanya.
Dalam kejadian Isnin lalu, Allahyarham Syakirah Hanan, 25, maut selepas kereta Perodua Viva yang dipandunya dirempuh sebuah Honda Jazz di persimpangan lampu isyarat JPJ, Kuala Terengganu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.