'Saya tiada masalah memaafkan' - Keluarga pelajar UniSZA maut kemalangan reda ketentuan ALLAH

Iklan
Kedua ibu dan bapa pemandu Honda Jazz bertemu Mazli (kanan) dan isterinya, Nurul Huda Ibrahim, 50, (dua dari kanan) di Jabatan Perubatan Forensik HSNZ di Kuala Terengganu pada Isnin.

KUALA TERENGGANU – Keluarga pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang maut dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sini menerima pemergian mangsa dengan tenang dan bersedia memaafkan individu terlibat.

Bapa kepada Allahyarham Syakirah Hanan, Mazli Yusoh, 51, berkata, sebagai manusia beliau reda menerima ketentuan ALLAH SWT dan pasrah atas tragedi yang berlaku.

Iklan
Iklan

Beliau yang merupakan guru Pendidikan Islam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra Besut berkata, kejadian tersebut adalah suratan takdir yang telah ditetapkan dan perlu diterima dengan hati terbuka.

"Sebagai manusia, saya hanya mampu menerima takdir. Apa yang berlaku adalah ketentuan ALLAH.

Iklan

"Dari sudut undang-undang dunia, mungkin ada unsur kecuaian manusia dan itu tertakluk kepada proses perundangan. Namun dari segi hukum sebagai seorang Islam, saya reda dan terima," katanya ketika ditemui Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini pada Isnin.

Menurut Yusoh, beliau tidak mempunyai sebarang masalah untuk memaafkan pihak terlibat dan tidak menyimpan sebarang perasaan dendam.

Iklan

"Saya tiada masalah untuk memaafkan. Jika mereka datang meminta maaf, saya terima. Saya reda dengan apa yang berlaku," katanya.

Terdahulu, ibu bapa kepada pemandu Honda Jazz lelaki berusia 32 tahun yang terlibat dalam kemalangan itu hadir ke Jabatan Forensik tersebut untuk bertemu dengan keluarga mangsa.

Pertemuan itu berlaku dalam suasana hiba dan kedua keluarga tersebut dilihat saling berpelukan.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang pelajar UniSZA maut selepas kereta dipandunya dirempuh sebuah Honda Jazz dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat JPJ di sini kira-kira jam 1.30 tengah hari pada Isnin.

Mangsa yang memandu Perodua Viva disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 1.55 tengah hari.

Menurutnya, siasatan awal mendapati Perodua Viva yang dipandu mangsa datang dari arah UniSZA menghala ke Bukit Kecil sebelum berhenti di lampu isyarat dan mula bergerak membelok ke kanan selepas lampu bertukar hijau.

Bagaimanapun, kenderaan mangsa tiba-tiba dirempuh sebuah Honda Jazz yang datang dari arah bertentangan.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.