SHAH ALAM – Pemilik sebuah tanah persendirian di Sepang memberi tempoh seminggu kepada pihak berkaitan bagi mengosongkan sebuah kuil yang didakwa dibina tanpa kebenaran sebelum tindakan perobohan dilaksanakan pada 9 Januari ini.
Aktivis Tanah Negara yang juga pemilik akaun Threads, Tamim Dahri menerusi hantaran di platform itu berkata, notis telah diberikan supaya pemindahan dilakukan dalam tempoh ditetapkan.
"Kita akan datang dengan jentera pengorek untuk ambil semula tanah milik tuan Suhaili sekiranya tiada tindakan diambil," katanya menerusi akaun media sosial itu.
Tamim menegaskan supaya isu itu tidak dipolitikkan dan diselesaikan secara berhemah mengikut saluran sebenar.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, tanah itu dibeli oleh pemilik pada tahun 2001 dan sebelum ini terdapat sebuah surau dan shrine di kawasan sama, namun kedua-duanya telah dipindahkan selepas diberikan tanah ganti di lokasi lain.
Katanya, tanah itu kemudiannya disewakan untuk pemasangan papan tanda iklan, namun selepas perjanjian sewaan tamat pemilik kembali melawat kawasan berkenaan dan terkejut apabila mendapati sebuah kuil bersaiz besar telah wujud semula di situ.
"Pemilik telah membuat laporan polis pada Jun lalu, namun tiada sebarang tindakan diambil.
"Laporan juga dibuat kepada Pejabat Tanah, tetapi keadaan masih tidak berubah,” dakwanya.
Sementara itu, Sinar Harian sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada Pejabat Daerah dan Tanah Sepang berhubung dakwaan berkenaan.