Pemuda Amanah NS label kenyataan Akmal angkuh, pentingkan diri sendiri

Iklan
Umar Mokhtar

SEREMBAN – Pemuda Amanah Negeri Sembilan menyifatkan kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang mencabar barisan Exco DAP di Melaka meletakkan jawatan serta mencadangkan semua menteri daripada UMNO mengambil langkah sama, sebagai angkuh dan mementingkan diri sendiri.

Exco Pemuda Amanah Negeri Sembilan, Umar Mokhtar Abdullah berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu sepatutnya bersikap lebih matang dan rasional.

Iklan
Iklan

"Akmal menyatakan bahawa kenapa perlu dia undur diri dalam kerajaan Barisan Nasional, sedangkan beliau meminta menteri-menteri dan ahli-ahli Parlimen UMNO meletakkan jawatan serta keluar daripada Kerajaan Perpaduan.

"Beliau perlulah lebih matang dan rasional kerana semua menteri dan ahli Parlimen lebih besar peranannya dalam membentuk atau membuat dasar yang akhirnya akan memberi manfaat kepada rakyat di negara ini," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Beliau turut mempersoalkan implikasi terhadap kestabilan negara sekiranya semua pemimpin UMNO bertindak mengikut kehendak Muhamad Akmal.

Jelasnya, dalam tempoh tiga tahun ini, negara telah menikmati kestabilan dari pelbagai sudut termasuk pengukuhan nilai Ringgit, kawalan inflasi dan pemulihan ekonomi.

Iklan

"Akmal kata UMNO perlu bersama Pas seperti sebelum ini dalam Muafakat Nasional untuk membentuk gabungan orang Melayu yang lebih besar.

"Tapi, tidakkah Akmal belajar daripada masa lepas? Percayalah, pada Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor akan datang, UMNO dan Pas akan bertegang leher dan bertikam lidah untuk menentukan kerusi yang akan mereka tandingi," katanya.

Malah, Umar Mokhtar berkata, sehingga kini terdapat beberapa pemuda UMNO yang dilihat tidak bersetuju dan membidas kehendak beliau.

"Akmal seharusnya meminta tunjuk ajar dan belajar daripada bekas Ketua Pemuda UMNO sebelum ini seperti Khairy Jamaluddin atau Datuk Asyraf Wajdi yang mempunyai 'selling point' lebih baik dalam membawa gagasan Pemuda UMNO.

"Jangan ikut perasaan, Akmal. Ikut rasa binasa, ikut hati mati," katanya.

Pada Sabtu lalu, Muhamad Akmal menerusi ucapannya dalam Konvensyen Khas Pemuda UMNO Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur mendesak parti Melayu itu bertindak keluar Kerajaan Perpaduan termasuk mencadangkan menteri daripada UMNO meletakkan jawatan.

Ini kerana katanya, terdapat dalam kalangan parti komponen Kerajaan Perpaduan yang didakwa telah hilang hormat dan memijak maruah UMNO, hingga menjejaskan nama baik orang Melayu dan kesucian agama Islam di negara ini.