MANCHESTR United telah memecat Ruben Amorim selepas kenyataan mengejut pengurus Portugal itu terhadap lembaga pengurusan kelab.
Amorim, 40, meninggalkan Old Trafford selepas 14 bulan yang sukar di dalam dan luar padang, dengan 24 kemenangan daripada 63 perlawanan.
Peratus kemenangan di bawah era Amorim pula hanya hanya 38.71 peratus, rekod terburuk sejak Frank O’Farrell pada 1971.
Bekas pemain tengah, Darren Fletcher akan mengetuai pasukan secara interim, termasuk perlawanan menentang Burnley pada awal pagi Khamis ini.
Dalam kenyataan rasmi, United berkata: “Ruben Amorim meninggalkan jawatannya sebagai ketua jurulatih Manchester United. Dilantik pada November 2024, beliau membawa pasukan ke Final UEFA Europa League di Bilbao pada Mei. Dengan United kini di tangga keenam Liga Perdana, pihak pengurusan membuat keputusan bahawa masanya untuk perubahan telah tiba demi peluang terbaik pasukan mencapai kedudukan tertinggi. Kelab mengucapkan terima kasih kepada Ruben atas sumbangannya dan mendoakan yang terbaik.”
Pemecatan itu menyusul apabila Amorim membuat kenyataan kontroversi selepas seri 1-1 menentang Leeds United pada Ahad, menuntut gelarannya ditukar daripada “ketua jurulatih” kepada “pengurus” dan menyindir pengarah bola sepak Jason Wilcox berhubung kegagalan perpindahan Antoine Semenyo.
Beliau berjanji tidak akan meletak jawatan tetapi menuntut lebih kawalan, namun kelab tetap mengambil keputusan memecatnya.
Musim lalu, Amorim gagal membawa United menjuarai liga, kalah di final Europa League kepada Tottenham Hotspur dan hanya menamatkan musim di tangga ke-15. Masalah pertahanan berterusan, termasuk 15 perlawanan tanpa clean sheet di tempat lawan, rekod terburuk kelab.
Sepanjang tempoh bimbingannya, United hanya sekali memenangi perlawanan berturut-turut, iaitu tiga kemenangan dalam siri lima perlawanan tanpa kalah pada Oktober.
Amorim turut dikritik kerana degil menggunakan formasi 3-4-3 yang akhirnya diakui hanya berkesan jika kelab membelanjakan “banyak wang”.
Beliau juga pernah mengakui kadangkala “membenci” pemain dan ingin “berhenti”, selepas United tersingkir mengejut kepada Grimsby Town dalam Piala Liga Inggeris.