KUALA LUMPUR – Seramai 1,070 individu ditahan polis dalam serbuan ke atas 97 pusat panggilan sindiket penipuan dalam talian di ibu negara sepanjang tahun lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, daripada jumlah tangkapan tersebut, seramai 600 individu adalah warga tempatan manakala 470 lagi membabitkan warga asing.
"Kesemua serbuan dilakukan ke atas beberapa premis kediaman yang dijadikan pusat operasi haram," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Fadil berkata, operasi berkenaan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, bagi membanteras kegiatan penipuan dalam talian yang menyasarkan mangsa di dalam dan luar negara.
"Hasil operasi itu, polis turut merampas sebanyak 2,845 unit peralatan telekomunikasi yang digunakan untuk menghubungi mangsa, selain wang tunai berjumlah RM5.06 juta," katanya.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kesemua individu yang ditahan merupakan pekerja sindiket dan terlibat dalam pelbagai modus operandi penipuan termasuk penipuan tawaran pekerjaan, pelaburan mata wang kripto yang tidak wujud serta aktiviti penipuan lain.
"Kesemua tangkapan telah didakwa di Mahkamah atas kesalahan di bawah Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan kerana bersubahat melakukan penipuan dalam talian, serta kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 berkaitan pelanggaran dokumen perjalanan melibatkan warga asing," katanya.
Fadil berkata, pihaknya akan mempergiatkan operasi secara berterusan bagi memastikan sindiket penipuan dalam talian dapat dibanteras sepenuhnya.
"Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.
"Sebarang maklumat berkaitan jenayah atau aktiviti mencurigakan boleh disalurkan kepada Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran," ujarnya.