Baiah asas disiplin, ketaatan dalam perjuangan Islam – Presiden Pas

Iklan
Abdul Hadi Awang

SHAH ALAM – Konsep baiah merupakan satu kewajipan penting dalam perjuangan Islam yang berasaskan pengorbanan harta dan jiwa serta ketaatan kepada kepimpinan selagi tidak bercanggah dengan al-Quran serta Sunnah.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, baiah yang pada asalnya membawa maksud jual beli, digunakan dalam konteks perjuangan Islam sebagai ikrar kesetiaan bagi mereka yang sanggup memikul amanah besar dan berdepan ujian berat demi menegakkan agama ALLAH.

Iklan
Iklan

Menurutnya, prinsip baiah berlandaskan firman ALLAH SWT dalam Surah al-Tawbah ayat 111 yang menegaskan bahawa ALLAH membeli diri dan harta orang beriman dengan balasan syurga, sebagai simbol pengorbanan sepenuhnya di jalan-Nya.

"Baiah menjadi amalan penting sejak zaman Rasulullah SAW, termasuk ketika peristiwa hijrah ke Madinah dan Perjanjian Hudaibiyah, yang menuntut kesetiaan, ketaatan serta kesediaan mempertahankan Islam walaupun berdepan ancaman besar," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Abdul Hadi menjelaskan, Rasulullah SAW sendiri mengambil baiah daripada pemimpin Madinah yang sanggup menyerahkan tanah air, harta dan nyawa untuk mempertahankan negara Islam yang pertama dengan janji ganjaran syurga.

Beliau berkata, baiah juga dilaksanakan dalam pelantikan jawatan penting seperti khalifah, ketua negara dan pemimpin ketenteraan, selain tugasan besar dalam pentadbiran, kehakiman serta urusan rakyat.

Iklan

Tegasnya, al-Quran menegaskan bahawa baiah bukan sekadar janji sesama manusia, sebaliknya satu perjanjian dengan ALLAH SWT sebagaimana firman-Nya dalam Surah al-Fath ayat 10, yang menyatakan bahawa sesiapa yang melanggar baiah akan menanggung akibatnya sendiri.

"Baiah mewajibkan ketaatan kepada pemimpin dalam urusan agama dan pentadbiran selagi tidak membawa kepada maksiat, kerana Islam menetapkan tiada ketaatan dalam perkara yang melanggar perintah ALLAH," ujarnya merujuk kepada hadis Rasulullah SAW.

Menurut Abdul Hadi, Rasulullah SAW dan para khalifah turut mengambil tindakan disiplin terhadap mereka yang melanggar baiah, termasuk memberi nasihat atau hukuman demi menjaga integriti kepimpinan dan jemaah.

Beliau turut menjelaskan bahawa dalam sejarah Islam, ketaatan tetap diwajibkan walaupun pemimpin itu mempunyai kekurangan, selagi arahan yang diberikan tidak bercanggah dengan syariat.

Dalam konteks Pas, Abdul Hadi berkata, baiah diwajibkan kepada semua calon pilihan raya yang diluluskan Majlis Syura Ulama sebelum dicalonkan oleh kepimpinan pusat.

Ujarnya, baiah tersebut berkuat kuasa selepas pelantikan jawatan dan mengikat semua wakil rakyat Pas di peringkat Parlimen, Dewan Negara dan Dewan Undangan Negeri untuk mematuhi arahan kepimpinan parti.

"Baiah ini mewajibkan ketaatan dalam semua urusan parti yang tidak bercanggah dengan hukum Islam, dan tindakan disiplin boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggarnya," ujar beliau lagi.

Beliau menegaskan, Pas menjadikan al-Quran, Sunnah, ijmak dan qias sebagai asas tertinggi perlembagaan parti, dengan Majlis Syura Ulama berperanan menentukan hukum secara kolektif melalui ijtihad jama‘i.

Ujarnya, Pas tidak bergantung kepada seorang mufti sahaja, sebaliknya dipandu oleh barisan ulama, ilmuwan dan teknokrat yang berfungsi sebagai ulu al-amr dalam jemaah.

Abdul Hadi berkata, konsep kepimpinan Islam meletakkan perlembagaan Islam sebagai tertinggi, manakala khalifah, raja dan kepimpinan berada di bawah pengawasan ahl al-hall wa al-‘aqd.

Menurutnya, selepas kehilangan negara Islam akibat penjajahan, peranan kepimpinan Islam diambil alih oleh jemaah atau parti Islam yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, sebagaimana dituntut al-Quran.

Beliau menegaskan, Pas memenuhi ciri-ciri jemaah Islam yang disebut dalam al-Quran dan Sunnah, justeru pelaksanaan baiah adalah sebahagian daripada amalan perjuangan parti.

"Pas berjaya melahirkan kepimpinan berintegriti dan mentadbir negeri tanpa rasuah serta salah laku kerana mereka yang gagal mematuhi baiah akan tersingkir daripada jemaah," ujarnya.

Abdul Hadi turut mengingatkan semua pihak agar tidak membuat kenyataan tanpa ilmu, sebaliknya merujuk kepada dalil al-Quran dan Sunnah serta menghormati prinsip syura dalam menangani perbezaan pandangan.