Isu jalan rosak di Tanjung 12 beri kesan besar operasi KDEBWM

Iklan
Ramli (berdiri tiga dari kiri) bergambar semasa Program Penyerahan Lori Kompaktor dan Armroll KDEBWM di Stadium Sungai Besar pada Isnin.

SABAK BERNAM – Isu kerosakan jalan menuju Tapak Pelupusan Sanitari Tanjung 12, Kuala Langat yang menjejaskan kelancaran operasi pengurusan sisa pepejal di Selangor dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM), Datuk Ramli Mohd Tahir berkata, kerosakan jalan di laluan itu bukan berpunca daripada pergerakan lori syarikat itu semata-mata, sebaliknya dipercayai akibat pergerakan lori tanah milik pemaju tapak industri di kawasan berkenaan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, perbincangan menyeluruh sudah diadakan membabitkan EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim; Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor; Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor; pemaju serta Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).

"Kami telah meneliti keseluruhan proses bagaimana kerosakan jalan itu berlaku dan setiap pihak yang terbabit amat maklum serta faham tanggungjawab masing-masing.

Iklan

"Adalah tidak adil untuk menyatakan kerosakan itu berpunca daripada lori KDEB kerana kami sudah lebih 10 tahun menggunakan laluan berkenaan untuk operasi kutipan sisa, bukan hanya di jalan itu sahaja, malah di seluruh Selangor," katanya ketika ditemui selepas Program Penyerahan Lori Kompaktor dan Armroll KDEBWM di Stadium Sungai Besar di sini pada Isnin.

Ramli berkata, pihaknya menerima jaminan daripada JKR, JPS dan pemaju mengenai kerja-kerja penambahbaikan yang sedang dilaksanakan termasuk menaik taraf jalan serta melengkapkannya dengan infrastruktur yang lebih baik.

Iklan

Menurutnya, jalan itu dijangka mampu menampung pergerakan kira-kira 500 lori KDEBWM setiap hari sepanjang 365 hari setahun, selain ratusan lori persendirian lain.

"Jika keadaan ini berlarutan, ia akan memberi kesan besar kepada operasi kami, misalnya lori terbalik, rosak atau tidak boleh digunakan akan menyebabkan kos tambahan dari segi pembaikan dan penggantian lori, sekali gus menjejaskan operasi harian.

"Ini bukan perkara rumit dan saya jangka isu ini dapat diselesaikan dalam tempoh dua bulan," katanya.

Beliau turut memaklumkan hujan lebat pada hujung tahun lalu, khususnya pada November dan Disember, turut menyumbang kepada keadaan jalan yang semakin teruk berikutan sistem saliran yang kecil dan tersumbat.

Bagaimanapun, beliau berharap cuaca yang lebih baik pada Januari dan Februari ini dapat membantu mempercepatkan kerja pembaikan supaya operasi pengurusan sisa pepejal kembali berjalan lancar seperti biasa.

"Saya merakamkan penghargaan kepada EXCO (Suee Lim) yang menyelaras mesyuarat dan mengarahkan semua pihak memainkan peranan bagi menyelesaikan isu ini segera demi mengelakkan kemalangan dan gangguan operasi," katanya.

Mengulas mengenai kos pembaikan, Ramli berkata, pihaknya memilih untuk menanggung sendiri kerosakan lori KDEBWM yang berlaku tanpa menyalahkan mana-mana pihak.

"Jika dikira satu persatu kos lori rosak, tayar pecah, penyerap hentak patah atau lori terbalik, ia bukan sesuatu yang adil untuk dibangkitkan kerana KDEBWM adalah milik kerajaan negeri.

"Apa yang penting, aset ini perlu dijaga. Tidak bermakna kita melabur besar tetapi dalam tempoh singkat ia rosak dan memberi kerugian," katanya.

Terdahulu, media melaporkan keadaan jalan menuju ke Tapak Pelupusan Sanitari Tanjung 12, Kuala Langat rosak dipercayai berpunca daripada pergerakan lori tanah milik pemaju tapak industri hingga menjejaskan kelancaran operasi pengurusan sisa pepejal di Selangor.

Pengurus Besar Operasi KDEBWM, Mohd Idris Mohamed Yusof berkata, hujan berterusan semasa Monsun Timur Laut memburukkan lagi keadaan jalan yang sedia rosak, sekali gus meningkatkan risiko keselamatan dan kerosakan kenderaan hingga menyebabkan jadual kutipan sisa pepejal di beberapa kawasan komuniti terjejas.

Beliau memaklumkan beberapa insiden kemalangan termasuk lori tergolek dilaporkan susulan keadaan jalan yang sempit dan rosak teruk, khususnya di hadapan kawasan projek.