KUALA LUMPUR – [KEMAS KINI] Yang Dipertua Pas Kawasan Sungai Buloh, Zaharudin Muhammad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas satu pertuduhan menyertai perhimpunan pengosongan Kampung Sungai Baru, September tahun lalu.
Zaharudin, 50, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, Farah Nabihah Muhamad Dan.
Mengikut pertuduhan, menantu Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang itu didakwa bersama tujuh individu termasuk dua remaja bawah umur menyertai perhimpunan yang menyalahi undang-undang.
Zaharudin yang juga aktivis dituduh menentang proses notis pengosongan di Jalan Datuk Abdul Malik, Kampung Sungai Baru sedangkan mengetahui perhimpunan tersebut diarahkan untuk bersurai mengikut undang-undang.
Kesalahan didakwa dilakukan di Jalan Datuk Abdul Malik, Kampung Sungai Baru di sini antara jam 10.50 dan 11.14 pagi pada 11 September 2025.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 145 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Wirna Arifin dan Amritpreet Kaur Randhawa mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM5,000.
Bagaimanapun, peguam, Latheefa Koya yang mewakili Zaharudin merayu kadar jaminan dikurangkan.
“Dia merupakan penanggung tunggal keluarga, perlu menyara anak dan isteri yang juga suri rumah,” katanya.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Farah Nabihah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan dua penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 24 Februari depan.
Pada Jumaat lalu, enam lelaki termasuk dua remaja 16 dan 17 tahun itu mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas satu pertuduhan mencederakan Senior Asisten Komisioner (SAC) Sulizmie Affendy Sulaiman, ketika itu Ketua Polis Daerah (OCPD) Dang Wangi sewaktu operasi sama pada tarikh serupa.
Tertuduh, Mohd Sopirman Mohd Yunus, 31; Muhammad Redzuan Kamal Abdul Rahman, 19; Muhammad Fallah Islahudden Shah Abdul Fattah, 20, dan Muhammad Azhar Salleh, 36, dihukum denda RM3,500 atau enam bulan penjara.
Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 4 Februari depan untuk jatuh hukum bagi dua remaja itu sementara menunggu laporan akhlak.
Sementara seorang lagi tertuduh, Ariffin Abu Bakar, 56, mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan berkenaan dan dibenar untuk diikat jamin sebanyak RM2,800 dengan seorang penjamin.
Media sebelum ini melaporkan, tujuh individu berusia antara 15 hingga 52 tahun ditahan kerana disyaki terlibat dalam provokasi ketika pelaksanaan writ saman milikan kosong di kampung terbabit.
Mereka disyaki terbabit dalam kejadian mencederakan mangsa ketika operasi dijalankan.
Beliau mengalami kecederaan di kepala akibat terkena objek ketika mengawal keadaan dalam operasi pemotongan bekalan elektrik bagi beberapa rumah di kawasan berkenaan.
Operasi dijalankan susulan arahan mahkamah berhubung proses perobohan struktur rumah di kawasan itu.