Hina Presiden dan Naib Presiden Indonesia boleh dipenjara hingga 3 tahun

Iklan
Undang-undang baharu yang dikuatkuasakan itu menimbulkan pelbagai kontroversi.- Agensi

JAKARTA – Indonesia mula menguatkuasakan pelaksanaan Kitab Undang-Undang Hukum Pidana (KUHP) baharu yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun terhadap individu yang didapati menghina Presiden atau Naib Presiden, satu langkah yang mencetuskan kebimbangan meluas mengenai kebebasan bersuara dan ruang demokrasi di negara itu.

Peruntukan tersebut termaktub dalam Pasal 218 KUHP baharu yang berkuat kuasa mulai 2 Januari 2026 selepas ditandatangani Presiden Prabowo Subianto.

Iklan
Iklan

Undang-undang itu menyatakan bahawa sesiapa yang secara terbuka menyerang kehormatan atau maruah Presiden atau Naib Presiden boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun enam bulan atau denda.

Kerajaan Indonesia mempertahankan langkah itu dengan menyatakan, peruntukan berkenaan bertujuan melindungi institusi Presiden daripada penghinaan bersifat fitnah dan serangan peribadi, bukan untuk mengekang kritikan awam yang sah.

Iklan

Bagaimanapun, kumpulan hak asasi manusia, aktivis prodemokrasi dan pengamal media menyuarakan kebimbangan bahawa undang-undang berkenaan berpotensi disalahgunakan bagi membungkam suara kritikal, khususnya wartawan, aktivis serta pembangkang politik.

Menurut pengkritik, peruntukan itu mengingatkan kepada undang-undang era lama yang sering digunakan untuk menekan perbezaan pandangan politik, sekali gus mewujudkan kesan ‘takut bersuara’ dalam kalangan masyarakat.

Iklan

Walaupun Pasal 218 turut menyebut pengecualian bahawa kritikan demi kepentingan awam atau pembelaan diri tidak dikategorikan sebagai penghinaan, kumpulan pemantau undang-undang menegaskan frasa tersebut bersifat kabur dan terbuka kepada tafsiran subjektif pihak berkuasa.

Selain pasal penghinaan terhadap Presiden dan Naib Presiden, KUHP baharu Indonesia turut memperkenalkan beberapa peruntukan lain yang dianggap kontroversi.

Ia termasuk undang-undang berkaitan penghinaan terhadap institusi negara, sekatan terhadap demonstrasi tanpa kebenaran dan peruntukan berkaitan moral dan agama.

Pemerhati politik serantau menyifatkan, langkah Indonesia itu sebagai ujian penting terhadap komitmen negara tersebut dalam mengekalkan prinsip demokrasi dan kebebasan bersuara, ketika ia berusaha menampilkan imej sebagai kuasa demokrasi terbesar di Asia Tenggara.

Sehingga kini, pihak berkuasa Indonesia menegaskan pelaksanaan undang-undang berkenaan akan dilakukan secara berhemah, namun masyarakat sivil memberi amaran bahawa pemantauan ketat amat diperlukan bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa. - Agensi