Pesawat buatan Indonesia terlibat operasi rahsia AS tangkap Maduro

Iklan
Operasi Absolute Resolve mengerahkan lebih 150 pesawat berteknologi tinggi, termasuk CN-235. - Agensi

JAKARTA – Sebuah pesawat buatan Indonesia, CN-235, dilaporkan terlibat dalam operasi ketenteraan rahsia Amerika Syarikat (AS) yang membawa kepada penangkapan Presiden Venezuela, Nicolás Maduro, dalam misi berprofil tinggi yang dinamakan Operasi Absolute Resolve.

Menurut laporan Beritasatu.com pada Ahad, operasi tersebut melibatkan pengerahan lebih 150 pesawat canggih bagi memastikan penguasaan udara sepenuhnya di ruang udara Venezuela, khususnya di ibu negara, Caracas.

Iklan
Iklan

Ketua Turus Bersama Angkatan Tentera AS, Jeneral Dan Caine, dipetik oleh The Guardian sebagai berkata, operasi itu merupakan kemuncak kepada perancangan dan latihan selama berbulan-bulan, serta dilaksanakan pada waktu paling gelap bagi mengekalkan unsur kejutan taktikal dan keselamatan anggota.

“Operasi ini dijalankan dengan ketepatan tinggi untuk memastikan keselamatan semua anggota dan kejayaan misi,” katanya.

Iklan

Antara pelbagai pesawat tempur dan sokongan berteknologi tinggi yang digunakan, kehadiran CN-235 menarik perhatian, khususnya di Indonesia.

Pesawat angkut ringan itu merupakan hasil kerjasama industri aeroangkasa Sepanyol CASA dan PT Nurtanio, yang kini dikenali sebagai PT Dirgantara Indonesia.

Iklan

CN-235 digunakan oleh Angkatan Tentera AS sebagai elemen sokongan operasi, termasuk bagi misi logistik, mobiliti pasukan khas, serta sokongan komunikasi dan pemantauan.

Ia melengkapkan armada jet tempur dan pesawat risikan strategik yang terlibat dalam operasi berisiko tinggi tersebut.

Penggunaan CN-235 dalam misi sensitif ini mengukuhkan reputasinya sebagai platform ketenteraan yang boleh dipercayai.

Walaupun sering dikaitkan dengan Tentera Udara Indonesia dan misi kemanusiaan, pesawat itu ternyata turut dipercayai dalam operasi penangkapan ketua negara di wilayah asing.

Secara keseluruhan, pakej udara Operasi Absolute Resolve merangkumi pesawat tempur siluman F-22 Raptor dan F-35 Lightning II, pesawat serangan F/A-18 Super Hornet, pengebom strategik B-1B Lancer serta pesawat peperangan elektronik EA-18G Growler.

Turut dikerahkan ialah pesawat amaran awal dan kawalan seperti E-3 Sentry (AWACS), E-2D Hawkeye dan pesawat risikan RC-135 Rivet Joint, selain penggunaan dron jarak jauh untuk pemantauan masa nyata dan sokongan serangan tepat.

CN-235 berperanan penting dalam memastikan kelangsungan operasi, khususnya ketika fasa pengunduran pasukan dari Venezuela, dengan membantu penyelarasan dan pergerakan lintas cabang ketenteraan.

Dominasi udara yang dicapai membolehkan helikopter pasukan khas AS memasuki kawasan sasaran, menahan Maduro dan mengevakuasinya tanpa sebarang korban di pihak Amerika Syarikat.

Bagi Indonesia, penglibatan CN-235 dalam operasi ketenteraan global AS itu menarik perhatian tersendiri, membuktikan keupayaan industri pertahanan tempatan yang bukan sahaja digunakan di peringkat domestik dan serantau, malah dipercayai dalam operasi ketenteraan paling sensitif di peringkat antarabangsa.-Agensi