GEORGE TOWN – Seorang pesara kerajaan berputih mata selepas mengalami kerugian berjumlah RM1.002 juta akibat terpedaya dengan skim pelaburan saham dalam talian yang ditawarkan menerusi aplikasi media sosial.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, lelaki berusia 67 tahun itu membuat laporan di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya pada Sabtu lalu.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa diperdaya oleh seorang wanita yang dikenalinya melalui Facebook pada penghujung Ogos tahun lalu.
“Suspek kemudian menawarkan satu pelaburan saham dikenali sebagai DAC Pro atas nama syarikat Navis Management Sdn Bhd dan mengarahkan mangsa berhubung melalui aplikasi WhatsApp.
“Suspek menjanjikan pulangan keuntungan sehingga 200 peratus dalam tempoh singkat, menyebabkan mangsa berminat untuk menyertai pelaburan tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Azizee berkata, mangsa diminta memuat turun aplikasi DAC Pro bagi tujuan pendaftaran keahlian dan membuat pelaburan.
Dalam tempoh 8 Oktober hingga 10 Disember 2025, mangsa telah membuat sebanyak 22 transaksi pembayaran berjumlah RM760,200 ke dalam enam akaun bank berbeza yang diberikan oleh suspek.
Sepanjang tempoh itu, mangsa dijanjikan keuntungan pelaburan sebanyak RM7,488,492 namun tidak pernah menerima sebarang pulangan sebenar.
“Apabila mangsa ingin mengeluarkan keuntungan tersebut, dia diminta membuat bayaran pendahuluan sebanyak tiga peratus daripada jumlah keuntungan sebagai syarat pengeluaran.
“Dalam tempoh 18 hingga 24 Disember 2025, mangsa sekali lagi membuat enam transaksi kemasukan wang berjumlah RM242,200 ke dalam satu akaun bank yang diberikan suspek,” katanya.
Bagaimanapun, mangsa mula menyedari telah ditipu apabila gagal mengeluarkan keuntungan serta diminta membuat bayaran tambahan kononnya bagi tujuan cukai dan bayaran kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Mangsa berasa curiga sebelum membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan penipuan,” katanya.
Dalam pada itu, Azizee mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap sebarang tawaran pelaburan, khususnya yang ditawarkan secara dalam talian dan melalui media sosial.
“Semakan perlu dibuat terlebih dahulu dengan Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia bagi memastikan entiti atau individu terbabit mempunyai kebenaran sah untuk menawarkan produk pelaburan,” katanya.