MELAKA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka membuat beberapa pengumuman penting pada Perhimpunan Bulanan Warga Jabatan Perdana Menteri Bagi Januari dan Amanat Tahun 2026 pada esok.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pengumuman itu membabitkan isu kritikal berkaitan ekonomi, pendidikan serta reformasi institusi.
"Esok Isnin, Perdana Menteri akan panggil mesyuarat khas Jemaah Menteri dengan beberapa isu terdesak akan dibincangkan.
"Selepas itu, pada 11.30 pagi, Perdana Menteri akan menyampaikan Amanat Tahun Baharu (2026) bersama-sama dengan warga Jabatan Perdana Menteri,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen DAP Melaka pada Ahad.
Hadir sama Pengerusi DAP Melaka yang juga Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong.
Anthony berkata, perkara bakal diumumkan itu menunjukkan keseriusan Anwar dan pimpinan Kerajaan Madani menangani isu serta masalah dihadapi rakyat ketika ini terutama dalam menangani iklim ekonomi mencabar.
Menurutnya, amanat berkenaan juga akan menggariskan hala tuju utama negara dan kerajaan sempena tahun baharu ini. - Bernama