TEHERAN – Iran mengisytiharkan semua pangkalan dan pasukan tentera Amerika Syarikat di rantau Asia Barat sebagai 'sasaran sah', sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap kemungkinan konflik berskala besar, ketika ketegangan antara Teheran dan pentadbiran Presiden Donald Trump terus memuncak.
Speaker Parlimen Iran, Mohammad-Bagher Ghalibaf, mengeluarkan kenyataan keras menerusi platform X, dengan memberi amaran kepada Washington agar tidak campur tangan dalam isu dalaman Iran, khususnya berkaitan gelombang protes yang sedang melanda negara itu.
Beliau mendakwa kerajaan Iran berjaya menggagalkan usaha pihak luar untuk menukar 'protes sah peniaga bazar dan kumpulan profesional' kepada pertempuran ganas di kawasan bandar.
“Jeritan musuh semakin lantang apabila usaha ejen bersenjata perkhidmatan perisikan asing untuk menukar bantahan sah rakyat kepada konflik bersenjata gagal, hasil kesedaran sejarah bangsa Iran,” tulis Ghalibaf.
Beliau menegaskan bahawa Iran tidak pernah menyamakan penunjuk perasaan dengan tentera upahan asing, sebaliknya menganggap mereka sebagai rakyat sendiri yang perlu dilindungi.
Dalam kenyataan paling keras, Ghalibaf memberi amaran secara terbuka kepada Presiden Trump bahawa sebarang tindakan campur tangan oleh Amerika Syarikat akan mengundang tindak balas ketenteraan.
“Presiden Amerika yang tidak menghormati seharusnya sedar bahawa dengan pengakuan ini, semua pusat dan pasukan Amerika di seluruh rantau ini adalah sasaran sah bagi Iran sekiranya berlaku sebarang pengembaraan ketenteraan,” katanya.
Amerika Syarikat kini mempunyai kira-kira 45,000 anggota tentera, selain rangkaian pangkalan dan armada udara serta laut yang besar di Asia Barat.
Amaran Teheran hadir ketika Iran dilanda gelombang protes terbesar sejak 2022, didorong oleh kejatuhan nilai mata wang rial ke paras terendah, kadar inflasi tahunan mencecah 42.2 peratus, serta kenaikan kos sara hidup.
Protes bermula dalam kalangan peniaga dan pelajar universiti di bandar utama seperti Teheran, sebelum merebak ke bandar-bandar kecil. Ketegangan meningkat apabila berlaku pertembungan dengan pihak berkuasa, dengan sekurang-kurangnya seorang dilaporkan maut.
Kenyataan Iran itu menyusul ancaman daripada Presiden Trump yang memberi amaran bahawa Amerika Syarikat bersedia bertindak jika Teheran menggunakan kekerasan terhadap penunjuk perasaan.
“Jika Iran menembak dan membunuh penunjuk perasaan secara ganas, seperti kebiasaan mereka, Amerika Syarikat akan datang menyelamatkan mereka. Kami bersiap sedia sepenuhnya,” kata Trump.
Sementara itu, Setiausaha Majlis Keselamatan Tertinggi Iran, Ali Larijani, turut memberi amaran bahawa campur tangan AS akan menggugat kestabilan seluruh rantau dan memusnahkan kepentingan Amerika sendiri.
Ketegangan ini berlaku hanya beberapa bulan selepas Amerika Syarikat melancarkan serangan udara ke atas kemudahan nuklear Iran, sekali gus meningkatkan kebimbangan dunia terhadap kemungkinan tercetusnya konflik berskala global.-Agensi