SHAH ALAM – Polis menerima laporan berhubung kehilangan Nurul Nazla Abdul Halim selepas wanita itu melawat suaminya di Hospital Shah Alam di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, laporan mengenai kes itu dibuat oleh adik kepada wanita berkenaan jam 12.06 tengah malam pada Ahad.
“Siasatan awal mendapati Nurul Nazla, 41, telah keluar dari Hospital Shah Alam selepas melawat suaminya yang sedang menerima rawatan di wad hospital berkenaan pada kira-kira jam 2 petang Sabtu,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Ramsay berkata, kali terakhir mangsa berhubung dengan suaminya ialah pada jam 3 petang hari yang sama melalui aplikasi WhatsApp, namun sehingga kini wanita berkenaan masih gagal dihubungi.
“Wanita itu berketinggian kira-kira 165 sentimeter dan berat 92 kilogram. Dia berkulit kuning langsat serta bertudung,” katanya.
Menurut Ramsay, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai orang hilang dan siasatan masih dijalankan bagi mengesan keberadaan mangsa.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kehilangan Nurul Nazla diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Izzman Mohd Idrus di talian 013-4003355,” katanya.
Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan ahli keluarga memohon bantuan orang ramai bagi mengesan Nurul Nazla.
Adiknya, Nadia dilaporkan berkata, Nurul Nazla gagal dikesan selepas menziarahi suaminya yang sedang menerima rawatan di Hospital Shah Alam pada jam 2 petang.
Sebelum keluar dari hospital, Nurul Nazla memaklumkan kepada suaminya bahawa dia mahu mencari makan di kawasan Sijangkang, Telok Panglima Garang.
Nadia berkata, kakaknya yang memandu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X50 dilaporkan kali terakhir berhubung dengan suaminya melalui aplikasi WhatsApp pada jam 3.01 petang.