MN wajar dihidupkan semula demi penyatuan politik - Pemuda Pas Selangor

Iklan
Mohamed Sukri

SHAH ALAM - Usaha menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) wajar diberi perhatian serius sebagai satu payung besar penyatuan parti politik.

Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berpandangan, landskap politik negara ketika ini menuntut suatu kebijaksanaan baharu yang lebih matang, berlapang dada dan berpaksikan kepentingan ummah serta negara.

Iklan
Iklan

Malah menurutnya, MN bukan sekadar kerjasama politik jangka pendek, sebaliknya satu gagasan penyatuan yang memayungi parti-parti Melayu serta bukan Melayu yang sederhana, rasional dan menolak ekstremisme.

"Saya melihat inilah masa terbaik untuk parti-parti Melayu melakukan reset secara menyeluruh.

Iklan

"Reset dari sudut pendekatan, budaya berpolitik, tatakelola kepimpinan dan keutamaan perjuangan.

"Politik dendam dan saling mencurigai mesti digantikan dengan politik muafakat, amanah dan tanggungjawab bersama," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Iklan

Dalam pada itu Mohamed Sukri turut mengingatkan bahawa sejarah telah membuktikan orang Melayu menjadi kuat apabila bersatu atas prinsip dan bukan kepentingan sempit.

Menurutnya, kesatuan itu mesti bersifat inklusif dengan memberi jaminan keadilan, kestabilan dan kesejahteraan kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum serta agama.

"MN yang dihidupkan semula perlu berteraskan nilai kenegaraan, keadilan sosial, kestabilan ekonomi dan penghormatan kepada Perlembagaan serta institusi negara.

"Ia bukan nostalgia politik, tetapi satu keperluan strategik bagi menghadapi cabaran masa depan yang semakin kompleks.

"Saya menyeru agar semua pihak menghentikan polemik tidak berkesudahan dan mula memikirkan tanggungjawab besar terhadap rakyat," ujarnya.

Sementara itu Mohamed Sukri menegaskan Pas sentiasa konsisten membawa politik penyatuan demi agama, bangsa dan tanah air.

Justeru itu katanya, jalan muafakat wajar diberi ruang untuk dibina kembali dengan kejujuran dan kebijaksanaan.

"Negara ini terlalu berharga untuk terus dipertaruhkan dengan perpecahan," tegasnya.