Chelsea digesa cuba nasib pujuk Klopp

Iklan
Selepas menamatkan tempoh gemilang sembilan tahun di Liverpool, Klopp kini memegang jawatan Ketua Bola Sepak Global untuk Red Bull. Foto: AFP

LEGENDA Chelsea, Joe Cole menggesa pihak pengurusan The Blues untuk mencuba nasib memujuk Jurgen Klopp kembali ke kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) susulan pengunduran mengejut Enzo Maresca dari Stamford Bridge.

Chelsea memulakan tahun baharu dengan langkah kurang baik apabila Maresca secara rasmi disahkan melepaskan jawatannya selepas 18 bulan mengemudi kelab itu.

Iklan
Iklan

Berita mengejutkan itu hadir susulan kemerosotan mendadak prestasi pasukan menyaksikan The Blues hanya mencatat dua kemenangan dalam sembilan perlawanan di semua pertandingan, sekali gus meletakkan kelab itu di tangga kelima liga.

Maresca sebelum ini memberi bayangan wujud masalah di belakang tabir selepas kemenangan ke atas Everton bulan lalu, dengan menyentuh mengenai kurangnya ‘sokongan’ dalam apa yang disifatkannya sebagai ‘48 jam terburuk’ sepanjang dia memegang jawatan tersebut.

Iklan

Ia bermakna Chelsea, yang dibawa Maresca menjuarai Liga Persidangan Eropah dan Piala Dunia Kelab, kini sedang memburu pengurus tetap kelima sejak pengambilalihan Todd Boehly pada 2022.

Liam Rosenior, ketua jurulatih Strasbourg muncul sebagai calon pilihan utama untuk menggantikan Maresca dengan laporan di Perancis mendakwa rundingan semakin rancak.

Iklan

Bagaimanapun, Joe Cole berpendapat Chelsea perlu berani melakukan kejutan dengan mendekati Klopp.

“Saya tidak terkejut. Pengurus tidak mendapat peluang yang adil secara menyeluruh dalam bola sepak sekarang.

“Terlalu banyak infrastruktur di sekeliling seorang pengurus kini, berapa banyak kuasa yang sebenarnya mereka miliki?

"Mereka memilih pasukan pada hujung minggu, dan dalam banyak kes, saya rasa itu pun bukan keputusan mutlak mereka,” kata bekas pemain sayap England itu.

Cole turut menegaskan bahawa sesuatu yang tidak betul sedang berlaku jika benar kakitangan perubatan yang menentukan pemilihan pemain di Chelsea seperti yang dilaporkan.

Apabila ditanya siapa yang beliau mahu lihat menguruskan Chelsea, Cole tanpa berselindung menamakan Klopp.

“Saya tahu ini kedengaran gila, tetapi Jurgen Klopp. Saya tahu dia mungkin tidak akan mempertimbangkannya kerana faktor Liverpool, tetapi anda tidak pernah tahu.

“Jika matlamat utama anda sebagai kelab bola sepak adalah memenangi piala dan anda mempunyai wang, anda perlu bercakap dengan nama-nama besar di peringkat tertinggi.

“Saya tahu ia nampak mustahil, tetapi jika anda tidak mempunyai pemikiran sebegitu, anda hanya akan bergantung harap untuk membangunkan pengurus terbaik seterusnya, seperti yang mereka fikir mereka lakukan dengan Enzo Maresca,” ujarnya.

Selepas menamatkan tempoh gemilang sembilan tahun di Liverpool, Klopp kini memegang jawatan Ketua Bola Sepak Global untuk Red Bull.

Walaupun Klopp pernah menyatakan bahawa kembali menjadi pengurus adalah 'mungkin secara teori, pengendali berkarisma dari Jerman itu berulang kali menegaskan beliau tidak akan melatih kelab Inggeris lain selain The Reds.

“Saya katakan saya tidak akan melatih pasukan lain di England. Jadi itu bermakna jika saya kembali, ia adalah Liverpool.

“Secara teorinya ia mungkin. Saya suka apa yang saya lakukan sekarang, saya tidak rindu melatih pemain. Saya tidak rindu berdiri dalam hujan selama dua setengah jam,” kata Klopp dalam satu temu bual podcast pada Oktober lalu.