SHAH ALAM - Kerajaan bukan mainan politik dan tidak wajar diperlakukan seperti pakaian yang boleh ditukar setiap kali kepanasan melanda atau apabila ego individu tercalar.
Menurut Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin, mandat rakyat bukan bahan uji kaji atau alat tawar-menawar kuasa, sebaliknya amanah besar yang perlu dihormati dan dipertahankan demi kestabilan negara.
Beliau berkata, cubaan memainkan persepsi kononnya Melayu dan Islam diinjak serta jeritan memperjuangkan rakyat hakikatnya hanyalah usaha murahan untuk menutup dan melindungi kepentingan elit politik tertentu.
“Berfikirlah dengan cerdas dan waras. Pilihan raya menelan ratusan juta ringgit wang rakyat, melibatkan jutaan jam kerja penjawat awam serta mengganggu tumpuan negara terhadap agenda pemulihan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Danish menegaskan, apa yang diharapkan rakyat ketika ini adalah sebuah kerajaan yang stabil dan mampu bekerja dengan berkesan seperti yang sedang dilaksanakan pada hari ini.
Menurutnya, kerajaan Madani terbukti berdiri dan bergerak atas semangat penyatuan rakyat, malah kerangka ekonomi Madani kini menunjukkan perkembangan yang sangat baik serta memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.
“Pemimpin yang matang menyelesaikan isu di meja perbincangan, bukan mencipta huru-hara politik.
“Politik jerit, ugut dan provokasi hanya mencerminkan ketidakmatangan serta ketandusan idea,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan sekiranya itulah tahap kepimpinan pemuda parti-parti politik hari ini, maka jelas mereka belum layak memikul amanah besar untuk memimpin negara.
Danish turut menekankan bahawa rakyat memerlukan penyatuan tanpa mengira bangsa dan agama, selain menuntut kerja nyata yang memberi manfaat kepada kehidupan seharian, bukannya sandiwara politik murahan.
Kenyataan Danish ini dipercayai merujuk kepada perkembangan politik kebelakangan ini yang menyaksikan sayap pemuda sebuah parti politik yang lantang mendesak perubahan landskap politik negara.