PEKAN – Tawaran pulangan tinggi dalam tempoh singkat mengundang padah apabila seorang suri rumah kerugian RM90,380 akibat penipuan pelaburan dalam talian.
Kejadian itu bermula apabila ibu tunggal berusia 53 tahun dikatakan tertarik dengan iklan pelaburan yang dilihat di media sosial pada 5 Ogos tahun lalu sebelum menekan pautan yang disediakan.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, mangsa kemudiannya berhubung dengan individu dipercayai wakil pelaburan berkenaan dan bersetuju menyertai pelan yang ditawarkan, yang menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh dua hingga tiga jam.
“Mangsa diminta mengisi borang secara dalam talian dengan menyerahkan salinan kad pengenalan, maklumat akaun bank serta butiran peribadi lain.
“Bermula 9 Ogos hingga 27 Oktober lalu, mangsa membuat sebanyak 27 transaksi pemindahan wang ke beberapa akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM90,380,” katanya dalam satu kenyataan pada malam Sabtu.
Mohd Zaidi berkata, selepas membuat pelaburan, mangsa tidak menerima sebarang pulangan keuntungan seperti yang dijanjikan.
Beliau berkata, mangsa mula mengesyaki telah ditipu selepas kehabisan wang untuk membuat bayaran seterusnya dan pihak pelaburan berkenaan gagal dihubungi.
"Susulan itu, mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada terhadap tawaran pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat, khususnya yang dipromosikan melalui media sosial.
“Orang awam disaran membuat semakan awal melalui portal rasmi https://semakmule.rmp.gov.my bagi mengenal pasti akaun bank yang mempunyai rekod penipuan.
“Mereka yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan dinasihatkan segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC),” tambahnya.