DHAKA - Pada awal Disember lalu, aktivis Parti Nasionalis Bangladesh (BNP), Tipu Sultan, 48, setia menunggu di luar Evercare Hospital di ibu kota sambil memegang plakad tertera, 'saya mahu dermakan buah pinggang saya kepada Begum Khaleda Zia'.
Rakaman video memaparkan tindakan Sultan turut menjadi tular dan meraih perhatian ramai setelah bekas Perdana Menteri wanita pertama itu dimasukkan ke hospital pada 23 November.
"Beliau seperti ibu saya yang telah berkorban segala-galanya demi demokrasi," katanya yang pada mulanya berharap kesihatan pemimpin itu akan kembali seperti sediakala menjelang pilihan raya umum pada 12 Februari depan.
Tetapi, seluruh rakyat berduka setelah menerima berita Khaleda meninggal dunia pada usia 80 tahun, tanggal 30 Disember lalu.
Khaleda pernah digelar sebagai 'suri rumah yang pemalu' sebelum beliau bergiat aktif dalam politik susulan insiden pembunuhan suaminya.
Pemergian Khaleda menutup 'kisah pertarungan begum' bersama musuh ketat politiknya, bekas Perdana Menteri, Sheikh Hasina yang tercetus lebih tiga dekad.
Begum merupakan satu gelaran kehormat yang lazimnya diberikan kepada wanita Muslim yang berautoriti dan mendominasi landskap politik Bangladesh.
Bangkit selepas kematian suami
Begum Khaleda Zia dilahirkan pada 15 Ogos 1946 di Dinajpur yang ketika itu sebahagian daripada Bengal Timur British India (kini utara Bangladesh).
Khaleda mendapatkan pendidikan awal di Sekolah Tinggi Perempuan Kerajaan Dinajpur sebelum menyambung pengajian di Surendranath College.
Pada 1960, pada usia 15 tahun, beliau bertemu jodoh dengan pegawai tentera, Ziaur Rahman.
Pergolakan di negara Asia Selatan itu telah menjadi titik tolak penglibatannya dalam bidang politik.
Kehidupannya berubah sama sekali selepas suaminya yang ketika itu memegang jawatan Presiden menjadi mangsa pembunuhan dalam insiden pemberontakan yang gagal di Chattogram pada 30 Mei 1981, sekali gus menjerumuskan Dhaka dalam situasi tidak menentu.
Usaha pentadbiran Rahman untuk menstabilkan Bangladesh selepas kudeta dan rampasan kuasa balas menjadi sia-sia selepas sistem politik negara itu kembali rapuh.
Pemimpin BNP melihat Khaleda satu-satunya calon yang dapat menyatukan puak parti dan memelihara legasi Rahman.
Beliau muncul sebagai tokoh awam yang berani mencabar pemerintahan diktator selepas insiden kudeta berdarah pada Mac 1982.
Khaleda akhirnya menyertai BNP dan dilantik sebagai pengerusi parti itu pada Ogos 1984.
Beberapa dekad selepas itu, beliau memenangi tiga pilihan raya untuk menjadi Perdana Menteri untuk tempoh dua penggal pada 1991 dan 2001.
Pada 2008, Khaleda pernah menjadi pemimpin pembangkang yang disegani dan BNP hilang perwakilannya di Parlimen setelah memboikot pilihan raya umum pada 2014.
Pengambilalihan tampuk kepimpinan di bawah Parti Liga Awami pimpinan Sheikh Hasina bagaimanapun telah menjejaskan imejnya meskipun hidup dalam pengasingan politik selama bertahun-tahun.
Pada 2018, Khaleda dihukum penjara 17 tahun setelah disabit bersalah dalam kes rasuah, namun dibebaskan daripada tuduhan tersebut setelah Revolusi Julai yang menyingkirkan Sheikh Hasina pada 2024.
Pada 31 Disember lalu, ratusan ribu rakyat berhimpun di Dhaka untuk memberi penghormatan terakhir kepadanya sebelum disemadikan bersebelahan pusara suaminya.
Khaleda akan terus dikenang sebagai sebagai pejuang demokrasi yang bangkit sebagai tokoh awam berpengaruh, mencabar pemerintahan kuku besi dan mempertahankan hak politik rakyat Bangladesh. - Agensi