KUALA LUMPUR - Pemuda UMNO menyatakan kesediaan untuk menjadi jambatan penyatuan dalam menghidupkam kembali hubungan kerjasama antara parti itu dengan Pas.
Ketuanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, ia susulan cadangan kerjasama melibatkan dua parti terbesar orang Melayu itu mendapat sokongan dan maklum balas positif daripada Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari serta Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden.
"Kita melihat apabila orang Melayu berpecah, ada pihak yang cuba mengambil kesempatan.
"Kesilapan lalu apabila UMNO dan Pas berpecah menyebabkan penyatuan Melayu tidak berlaku, sebab itu, saya menghulurkan tangan dan mensyorkan bahawa penyatuan Melayu mesti diterajui oleh dua parti teras orang Melayu, iaitu UMNO dan Pas.
"Saya dimaklumkan Ketua Pemuda Pas pun menyambut baik cadangan ini dan Ketua Penerangan Pas turut mengeluarkan kenyataan yang positif," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO yang berlangsung di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Sabtu.
Konvensyen bertemakan 'Hala tuju UMNO dalam Kerajaan Perpaduan' dihadiri sekitar 2,000 ahli, menyuarakan pandangan dan isi hati secara terbuka serta berani dengan menilai semula kedudukan parti dalam kerajaan kini.
Ujar Muhamad Akmal, setakat ini belum ada sebarang pertemuan rasmi diadakan antara Pemuda UMNO dan Pemuda Pas bagi membincangkan perkara tersebut, namun pihaknya bersedia mengadakan perbincangan pada bila-bila masa.
Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa sebarang keputusan berkaitan kerjasama politik perlu diputuskan mengikut saluran parti dan berlandaskan suara akar umbi.
"Konvensyen ini tidak membuat keputusan, sebaliknya mengumpulkan dapatan daripada akar umbi.
"Setakat ini, alhamdulillah majoriti ke arah pendirian tersebut dan akan dibawa untuk dipertimbangkan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU)," ujarnya.