Burung pungguk jelapang senjata senyap sawah padi

Iklan
Pungguk jelapang pantas menyerang tikus di kawasan sawah.

KOTA BHARU - Keupayaan memburu dalam gelap dengan pendengaran ultra tajam dan serangan tanpa bunyi memberi kelebihan kepada burung pungguk jelapang untuk bertindak sebagai penangkap tikus perosak di kawasan sawah padi.

Meskipun terdapat beberapa kaedah lain menghapuskan haiwan perosak itu, namun peranan burung pungguk jelapang atau nama saintifiknya, tyto javaniva javanica masih diperlukan hingga ke hari ini.

Iklan
Iklan

Perkara itu terbukti apabila inisiatif pemasangan kotak sarang di kawasan bendang menunjukkan pengurangan populasi tikus sawah atau rattus argentiventer berikutan peningkatan pembiakan burung berkenaan.

Program dilaksana Barn Owl and Rodent Research Group (BORG) dari Universiti Sains Malaysia (USM) bersama Usains Group sejak 2023 di Kemasin itu menjadi projek rintis pertama di Kelantan sebagai model pengurusan perosak berasaskan alam semula jadi berbanding penggunaan racun kimia.

Iklan

Hasber menunjukkan tikus sawah yang ditemukan dalam kotak sarang pungguk jelapang.

Menurut Ketua Penyelidik, Profesor Madya Dr Hasber Salim, kajian bermula dengan menempatkan enam kotak sarang yang kini meningkat kepada 26 unit bagi menggalakkan pembiakan burung pungguk.

Iklan

“Setakat ini, lebih 25 burung direkodkan aktif yang hidup berpasangan dan bertelur di dalam sarang tersebut.

“Data dikumpul menunjukkan gambaran jelas bagaimana spesies ini bekerja sepanjang malam,” katanya kepada Sinar Harian.

Ujar beliau, berdasarkan pemantauan di lapangan, seekor burung pungguk jelapang mempunyai radius penerbangan harian sekitar 0.5 hingga lebih tiga kilometer bergantung kepada ketersediaan makanan.

Pungguk jelapang.

Menurutnya, spesies itu memilih untuk memburu dalam lingkungan 300 meter hingga satu kilometer dari sarang, sekali gus menjadikan pemasangan kotak sarang berhampiran sawah sebagai strategi paling efektif.

“Burung pungguk mula aktif sejurus matahari terbenam dengan puncak pemburuan antara jam 8 malam hingga 5 pagi.

“Berdasarkan pemerhatian, seekor burung dewasa mampu menangkap antara satu hingga empat tikus setiap malam.

“Untuk pasangan burung yang sedang membesarkan anak, jumlah ini boleh meningkat sehingga 12 tikus bagi memastikan keperluan makanan anak dipenuhi,” ujarnya.

Kitaran hidup pungguk jelapang.

Tambah Hasber, secara konservatif, satu pasangan burung pungguk dan anak-anak dianggarkan menghapuskan sehingga 3,000 tikus setahun.

Kata beliau, selain pemerhatian terus, penyelidik turut mengumpulkan pelet iaitu gumpalan bulu dan tulang tikus yang dimuntahkan burung selepas makan.

“Daripada ribu-ribuan pelet yang dianalisis, didapati bahawa diet utama burung pungguk jelapang di kawasan sawah padi di Malaysia ialah 99 peratus tikus sawah.

“Purata satu hingga tiga tikus ditemui bagi setiap pelet, bergantung saiz mangsa,” katanya.

Pungguk jelapang berada di dalam sarang buatan.

Menurut Hasber, analisis pelet bukan sahaja mengesahkan jumlah mangsa yang diburu, malah membantu penyelidik mengenal pasti spesies tikus yang paling mengancam sawah di Kelantan.

“Lebih penting, penggunaan burung pungguk mengurangkan pergantungan kepada racun kimia, sekali gus meminimumkan risiko pencemaran tanah, air dan kematian haiwan bukan sasaran,” ujarnya.

Dr Hasber memberitahu, BORG, USM dan USains Group menyasarkan pembinaan 100 lagi kotak sarang yang diperbuat dari kayu itu di sekitar Bachok dan Kota Bharu sebelum diperluaskan ke kawasan padi Gong Nering, Pasir Puteh sebanyak 20 kotak dengan kerjasama Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kemasin Semarak.

Infografik

“Projek ini juga berpotensi berkembang ke ladang kelapa sawit dan tanaman kontan lain sebagai modul kawalan biologi jangka panjang bagi mengurangkan penggunaan racun toksik di kawasan pertanian,” katanya.