LIPIS - Aktiviti menggagau ikan di dalam petak sawah mungkin agak asing bagi generasi muda hari ini, namun bagi mereka yang pernah melalui pengalaman membesar dengan bermain lumpur itu pastinya mengundang nostalgia tersendiri.
Justeru, tidak hairanlah aktiviti tradisional berkenaan paling mendapat sambutan hangat dalam penganjuran Program Lembaran Baharu 2026 Padi Kampung Budu yang berlangsung di Kampung Beluan, Budu di sini baru-baru ini.
Aktiviti berkenaan merupakan sebahagian daripada pengisian program Jabatan Pertanian Daerah Lipis bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Budu yang dibuat selari dengan usaha untuk mempromosikan lagi projek padi komuniti yang diusahakan penduduk setempat.
Acara yang berlangsung dalam suasana redup itu menyaksikan seramai 400 orang terdiri daripada pelbagai peringkat usia mengambil bahagian dan turut diserikan lagi dengan kehadiran Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benta merangkap Exco Pahang, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak.
Kedua-dua tetamu kenamaan itu terlebih dahulu dibawa mengelilingi Projek Padi Kampung Beluan, Budu menggunakan tram bagi meninjau perkembangan sebelum meneruskan acara kemuncak iaitu gimik penanaman padi sebagai simbolik permulaan lembaran baharu sektor tersebut di kawasan berkenaan.
Selain itu, Pegawai Daerah Lipis, Datuk Mohd Hafizi Ibrahim, wakil agensi kerajaan dan pemimpin setempat turut hadir memberikan sokongan terhadap aktiviti yang mengembalikan nostalgia.
Pesta menggagau ikan yang berjaya menghidupkan suasana tradisi kampung dan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti itu merupakan antara aktiviti paling mendapat sambutan.
Rata-rata peserta mempamerkan kemahiran tersendiri untuk menangkap ikan menggunakan, meskipun kebanyakannya kali pertama merasai pengalaman tersebut.
Selain itu, pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan termasuk menanam dan mencedung padi, cabutan bertuah serta pertandingan pakaian tradisional bertemakan Kampung People, selaras dengan usaha memartabatkan warisan desa dan memperkukuh ekonomi pertanian luar bandar.