Skandal rasuah dalam tentera

Iklan
Rasuah dalam tentera boleh membahayakan keselamatan negara. Foto hiasan

SKANDAL rasuah terbesar dalam ketenteraan di Amerika Syarikat yang pernah direkodkan melibatkan kontraktor ketenteraan Leonard Glenn Francis dan syarikat Glenn Defense Marine Asia (GDMA).

Francis memberi suapan dalam bentuk wang tunai, pelancongan mewah, barangan dan perkhidmatan lain kepada anggota tentera laut US Navy untuk mendapatkan maklumat sulit, memanipulasi pergerakan kapal dan menaikkan kos kontrak sokongan logistik di Asia Pasifik.

Iklan
Iklan

Kesan daripada pendedahan kes tersebut, beratus pegawai, termasuk beberapa kapten kapal dan pegawai tinggi, disiasat serta didakwa.

Di China pula pernah dilaporkan tentang Wang Shouye iaitu bekas Timbalan Komander Tentera Laut Tentera Pembebasan Rakyat China, disabitkan dengan kesalahan menyeleweng dana kerajaan sebanyak kira-kira 160 juta yuan (RM95 juta) dan memiliki wang tunai serta aset mewah tersembunyi.

Iklan

Ia dianggap antara kes rasuah terbesar dalam sejarah ketenteraan China dan Wang dijatuhkan hukuman mati, namun kemudian ditukar kepada hukuman penjara seumur hidup selepas siasatan menyeluruh dilakukan.

Pada tahun 2011, Filipina bergegar dengan Skandal Paboan. Pegawai tertinggi Angkatan Tentera Filipina menerima duit daripada dana yang disembunyikan selepas mereka bersara. Dana tersebut dipindahkan tanpa audit dan melibatkan ratusan juta peso.

Iklan

Skandal itu menyebabkan beberapa pegawai tinggi tentera didakwa, selain turut mencetuskan perdebatan mengenai ketelusan sistem kewangan pertahanan Filipina.

Di United Kingdom (UK), Gordon Richmond Foxley yang merupakan Pengarah Perolehan Peluru di Kementerian Pertahanan UK, menerima rasuah jutaan paun daripada pengeluar senjata untuk mempengaruhi kontrak pertahanan.

Wang yang diseleweng itu disimpan di luar negara melalui syarikat yang berselindung di sebalik kegiatan haram.

Kes itu menyebabkan Foxley disabitkan atas 12 pertuduhan rasuah. Skandal itu menjadi lambang kelemahan sistem perolehan pertahanan UK dan menyumbang kepada laporan dalaman mengenai penipuan dalam Kementerian Pertahanan pada 1990-an.

India juga pernah terjadi skandal yang melibatkan rundingan perolehan meriam Bofors FH77 bernilai AS$285 juta pada 1986. Antara yang terlibat ialah pegawai tentera, orang tengah politik dan syarikat luar negara.

Skim West End International itu didedah melalui operasi penyamaran oleh media India untuk menunjukkan pegawai tentera mengambil rasuah bagi kontrak pertahanan.

Skandal itu menyebabkan kerajaan India menyenarai hitam firma terbabit dan kes tersebut mencetus perdebatan besar mengenai amalan kontrak pertahanan dan ketelusan dalam institusi keselamatan negara.

Kes Patria pula melibatkan tiga negara iaitu Slovenia, Finland dan Austria. Ia merupakan kontroversi tuduhan rasuah yang melibatkan syarikat pertahanan Finland Patria bagi mendapatkan kontrak pembelian kenderaan berperisai di Slovenia dan negara lain.

Terdapat dakwaan wang suapan besar disalurkan kepada pegawai kerajaan dan kementerian pertahanan.

Walaupun banyak pertuduhan dibatalkan atau digugurkan kerana kekurangan bukti dan peraturan undang-undang, skandal itu mencalar reputasi dan menarik perhatian badan anti-rasuah di rantau tersebut.

Ini adalah cabaran untuk mendedahkan skandal rasuah melibatkan ketenteraan kerana kebanyakan dokumen diklasifikasikan sebagai rahsia sulit dan sesiapa sahaja yang mendedahkannya boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Terutama apabila ia melibatkan pembelian senjata kerana maklumat sedemikian tidak boleh jatuh ke tangan musuh.

Tetapi kalau setakat kontrak mencuci kapal terbang, membaiki berek tentera atau pembekalan makanan, ini tidaklah sampai menjejaskan keselamatan negara. Siasatlah sedalam-dalamnya dan hukumlah mereka yang terlibat.

*Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian