ISTANBUL - Turkiye bersama tujuh negara lain pada Jumaat menggesa Israel supaya menarik balik sekatan kemasukan bekalan keperluan asas berikutan situasi kemanusiaan di Semenanjung Gaza yang semakin meruncing, lapor Agensi Anadolu (AA).
Kenyataan bersama itu turut menyentuh faktor cuaca buruk yang melampau termasuk hujan lebat dan ribut sebagai punca utama yang memburukkan lagi keadaan.
Dalam kenyataan bersama itu, menteri-menteri luar dari Turkiye, Mesir, Jordan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Indonesia, Pakistan, Arab Saudi dan Qatar melahirkan kebimbangan terhadap penderitaan kemanusiaan yang semakin meruncing.
Mereka memberi amaran bahawa keadaan cuaca yang tidak menentu telah memburukkan lagi kesan sekatan bantuan dan kekurangan kritikal bekalan menyelamat nyawa.
"Menteri-menteri menekankan bahawa cuaca buruk telah mendedahkan betapa rapuhnya keadaan kemanusiaan sedia ada, terutamanya bagi hampir 1.9 juta penduduk dan keluarga yang kehilangan kediaman tinggal di tempat perlindungan yang tidak selesa," menurut kenyataan yang dikongsi oleh Kementerian Luar Turkiye.
Kumpulan menteri berkenaan turut memuji usaha agensi-agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), terutamanya Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA), serta organisasi kemanusiaan antarabangsa yang terus menyalurkan bantuan dalam keadaan yang disifatkan sebagai amat sukar.
Mereka menuntut Israel memastikan PBB dan badan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa dapat beroperasi di Gaza serta Tebing Barat secara 'mampan, terjangka dan tanpa sekatan', sambil menegaskan bahawa sebarang percubaan untuk menghalang operasi itu adalah tidak boleh diterima.
Selain itu, mereka mengulangi sokongan penuh terhadap Resolusi Majlis Keselamatan PBB 2803 dan Pelan Komprehensif Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump serta berhasrat untuk menyumbang kepada kejayaan pelaksanaannya.
Usaha itu bertujuan mengekalkan gencatan senjata, menamatkan perang di Gaza, menjamin kehidupan bermaruah bagi rakyat Palestin dan memajukan laluan yang boleh dipercayai ke arah penentuan nasib sendiri serta pembentukan negara Palestin.
Kenyataan itu turut menekankan keperluan mendesak untuk meningkatkan usaha pemulihan awal dengan segera, termasuk menyediakan tempat perlindungan yang tahan lama bagi melindungi orang awam daripada keadaan musim sejuk yang ekstrem.
Menteri-menteri terbabit menggesa komuniti antarabangsa supaya memikul tanggungjawab undang-undang dan moral untuk mendesak Israel menarik balik sekatan bekalan asas.
Mereka turut menyeru penghantaran bantuan kemanusiaan dilakukan segera tanpa halangan melalui PBB, pemulihan infrastruktur serta hospital dan pembukaan lintasan sempadan Rafah selaras dengan pelan Trump.- Bernama-Anadolu