WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa beliau mampu meredakan ketegangan antara Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan"mudah”, lapor Anadolu Ajansi.
"Mereka memang mempunyai perselisihan dan kita boleh menyelesaikannya dengan sangat mudah,” kata Trump kepada pemberita di dalam pesawat Air Force One ketika kembali ke Washington, DC dari kediamannya di Mar-a-Lago di Florida Selatan.
Bagaimanapun, apabila ditanya sama ada beliau mempunyai rancangan untuk terlibat dalam pertikaian antara dua negara Teluk itu, beliau berkata tiada.
Kenyataan itu dibuat di tengah-tengah ketegangan antara Arab Saudi dan UAE berhubung konflik di Yemen selepas Abu Dhabi menarik balik tenteranya susulan pertempuran yang melibatkan Majlis Peralihan Selatan, kumpulan pemisah utama di negara yang dilanda perang itu.
Riyadh menuduh UAE menyokong kemaraan kumpulan pemisah berhampiran sempadan Arab Saudi, dakwaan yang dinafikan Abu Dhabi.
Susulan perselisihan itu, UAE menarik balik semua tenteranya dari Yemen, sekali gus menamatkan misinya di negara berkenaan.
Konfrontasi itu menandakan antara perselisihan paling serius dalam kem anti-Houthi di Yemen sejak beberapa tahun kebelakangan ini. - Bernama-Anadolu