13 kampung dilanda banjir, Beaufort diisytihar kawasan bencana

Iklan
Anggota APM melakukan tinjauan di Kampung Lubak yang terjejas banjir di Beaufort.

BEAUFORT - Hujan lebat berterusan sejak Khamis menyebabkan 13 kampung di daerah ini terjejas akibat banjir manakala beberapa jalan turut ditenggelami air pada Jumaat.

Setiausaha Pengurusan Bencana Negeri Sabah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah memaklumkan, hujan lebat yang berterusan di Keningau menyebabkan paras air Sungai Padas meningkat.

Iklan
Iklan

Katanya, bacaan paras Sungai Padas mencapai 9.37 meter iaitu melebihi paras bahaya 8.70 meter setakat jam 12 tengah hari Jumaat.

"Kawasan yang terjejas antaranya Kampung Batu 60, Kampung Binunuk, Kampung Bakalau, Kampung Bingkul, Kampung Lubak, Kampung Gumarit, Kampung Lago, Kampung Suasa, Kampung Koundo, Kampung Kukup, Kampung Kangsa dan Kampung Bangkalalak.

Iklan

"Selain itu, sebanyak tujuh jalan ke perkampungan tersebut turut tidak dapat dilalui kerana dilimpahi air banjir namun sebahagiannya masih boleh dilalui dengan kenderaan tinggi," katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun katanya, setakat ini belum ada sebarang operasi memindahkan penduduk dilakukan namun sebarang perkembangan mengenai keadaan banjir di daerah itu akan dimaklumkan dari masa ke masa.

Iklan

Sementara itu, dalam kenyatan berasingan, Pegawai Daerah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Beaufort, Mohd Nazri Ajun mengisytiharkan daerah tersebut sebagai kawasan bencana banjir.

"Berdasarkan laporan dan maklumat di lapangan yang diterima daripada agensi JPBD, maka adalah diisytiharkan bencana banjir pada jam 5 petang," kata kenyataan tersebut.