BINTANG tengah Croatia yang kini menyarung jersi AC Milan, Luka Modric menyifatkan Jose Mourinho sebagai pengurus paling tegas pernah bekerjasama dengannya.
Malah, dia turut mendedahkan pengendali legenda itu pernah membuatkan Cristiano Ronaldo menitiskan air mata di bilik persalinan Real Madrid.
Walaupun pernah dibimbing ramai jurulatih bertaraf dunia sepanjang kariernya, pemain berusia 40 tahun itu melabelkan pengendali kelahiran Portugal tersebut sebagai yang paling tegas dari segi disiplin.
Ketika di Santiago Bernabeu, Modric yang dibawa masuk oleh Mourinho dari Tottenham Hotspur dengan nilai €30 juta pada Ogos 2012, mengakui terhutang budi dengan The Special One.
Dalam satu temu bual bersama akhbar Itali, Corriere della Sera, Modric membuka mulut mengenai hubungannya dengan Mourinho yang kini membimbing Benfica.
"Dia (Mourinho) istimewa. Sebagai jurulatih dan sebagai manusia. Dia yang mahukan saya di Real Madrid.
"Tanpa beliau, saya tidak akan sampai ke sana. Saya cuma terkilan hanya sempat bersamanya selama satu musim," katanya.
Berkongsi lanjut mengenai ketegasan Mourinho, Modric mendedahkan bagaimana bekas pengurus Chelsea dan Manchester United itu pernah menyebabkan legenda Real Madrid, Cristiano Ronaldo menangis kerana berang dengan sikap penyerang itu ketika bertahan.
"Saya melihat dia (Mourinho) membuat Cristiano Ronaldo menangis di bilik persalinan.
"Ronaldo seorang yang memberikan segala-galanya di padang, namun hanya kerana sekali dia tidak mengejar pertahanan lawan, Mourinho terus memarahinya.
"Mourinho sangat berterus-terang dengan pemain, tetapi dia jujur. Dia melayan Sergio Ramos dan pemain baharu dengan cara yang sama. Jika ada sesuatu yang perlu diberitahu, dia akan cakap.
"Max (Allegri, pengurus semasa Modric di Milan) juga begitu, dia memberitahu depan-depan apa yang betul dan salah. Kejujuran adalah asas utama," jelas Modric.
Musim 2012-13 di bawah Mourinho berakhir dengan kekecewaan buat Real Madrid apabila sekadar menduduki tempat kedua La Liga di belakang Barcelona dan tewas di final Piala Raja Sepanyol serta separuh akhir Liga Juara-Juara.
Bagaimanapun, Modric kekal di Madrid selama 12 musim selepas itu, memenangi pelbagai kejuaraan termasuk tiga gelaran Liga Juara-Juara berturut-turut di bawah Zinedine Zidane dan dua lagi di bawah Carlo Ancelotti sebelum berhijrah ke Itali.