TAHUN 2025 disifatkan sebagai tahun kebangkitan maruah sepak takraw tanah air apabila Malaysia berjaya membuktikan keupayaan sebagai kuasa utama yang semakin dihormati di pentas antarabangsa dan bukan lagi sekadar pencabar biasa.
Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, tirai 2025 dilabuhkan dengan pelbagai warna-warni suka duka yang akhirnya membuahkan hasil membanggakan menerusi pengorbanan dan disiplin tinggi semua pihak.
Menurutnya, pelbagai kejayaan yang diraih membuktikan pemain negara memiliki keberanian luar biasa untuk menyaingi pasukan pilihan.
"Displin tinggi dalam latihan dan kesungguhan yang tidak pernah luntur hingga ke detik akhir perlawanan adalah resipi kejayaan.
"Di pentas kejohanan utama, kita berjaya membawa pulang pingat emas, perak dan gangsa, sekali gus membuktikan bahawa Malaysia bukan lagi sekadar pencabar, tetapi kuasa utama yang semakin dihormati," katanya.
Mengulas mengenai hala tuju 2026, Mohd Sumali menegaskan fokus PSM kini terarah kepada pengukuhan pembangunan akar umbi dan pendekatan sains sukan bagi memastikan kesinambungan kejayaan.
"Sesungguhnya, mengekalkan kejuaraan lebih sukar daripada mencapainya. Cabaran 2026 lebih besar dan menuntut kesungguhan berlipat kali ganda.
"Dengan semangat kebangsaan yang tinggi, saya yakin Malaysia mampu terus menyaingi kuasa besar serantau, memperkasa kedudukan sepak takraw di pentas dunia, dan mengangkat martabat sukan warisan ini ke tahap lebih tinggi.
"Marilah kita terus berganding bahu sebagai satu keluarga demi sukan, demi negara," katanya.
Untuk rekod, skuad negara menampilkan persembahan cemerlang apabila berjaya menamatkan kemarau 34 tahun pingat emas dalam acara regu berpasukan menewaskan Thailand di Sukan SEA.
Selain itu, mereka juga mencipta kejayaan menjuarai acara regu di Piala Asia.