Objek disyaki serpihan angkasa ditemukan di pesisir pantai di Pekan

Iklan
Ketua Balai Polis Nenasi, Sarjan Mejar Othman Mohamad (kanan) bersama Koperal Mohd Faizal Zainal Norddin melihat objek yang disyaki serpihan dari angkasa ditemukan di pesisir pantai Kampung Tanjung, Nenasi, Pekan pada Selasa lalu. Foto: Bernama

PEKAN - Satu objek yang disyaki serpihan dari angkasa ditemukan di pesisir pantai Kampung Tanjung, Nenasi di sini pada Selasa lalu. 

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin  berkata, objek berkenaan dijumpai penduduk kira-kira 5 petang sebelum memaklumkan kepada pihak Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Iklan
Iklan

"Siasatan awal mendapati serpihan objek berkenaan dipercayai jatuh dari angkasa ke dalam laut sebelum dihanyutkan arus ke kawasan pantai di Nenasi,” katanya dalam kenyataan pada Khamis. 

Beliau berkata, objek yang dianggarkan berukuran 4.26 meter x 3.64 meter itu telah diuji serta diteliti pegawai Jabatan Tenaga Atom Malaysia semalam dan mendapati ia bebas daripada sebarang radiasi. 

Iklan

Bagi tujuan keselamatan, objek berkenaan telah dipindahkan ke Balai Polis Nenasi di sini untuk simpanan sementara sebelum siasatan lanjut dijalankan kementerian berkenaan. 

Tinjauan Bernama di Balai Polis Nenasi mendapati garisan polis telah dipasang di sekeliling objek itu dan serpihan yang difahamkan mencecah berat ratusan kilogram itu kelihatan dipenuhi teritip dengan beberapa permukaannya terkopak serta rosak. - Bernama 

Iklan