Jalan Lingkaran Luar atasi kesesakan Melaka

Iklan
Kerajaan Melaka sedang meneliti penyelesaian terbaik bagi mengurangkan kesesakan trafik yang memasuki negeri itu menerusi pembangunan Jalan Lingkaran Luar. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Kerajaan Melaka sedang meneliti penyelesaian terbaik bagi mengurangkan kesesakan trafik yang memasuki negeri itu menerusi pembangunan Jalan Lingkaran Luar (Outer Ring Road).

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, kawasan ekonomi Melaka di Golden Triangle terletak di persisir pantai, namun pembangunan di kawasan berkenaan berdepan kekangan disebabkan status warisan negeri itu.

Iklan
Iklan

“Melaka pula telah diberikan pengiktirafan sebagai bandar warisan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang mempunyai pelbagai syarat untuk kita berikan perhatian,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Ahad.

Menurutnya, banyak kawasan tidak boleh dibangunkan kerana tertakluk kepada undang-undang warisan termasuk kekangan untuk melebarkan jalan dan menjalankan kerja pengorekan.

Iklan

“Ada satu insiden di sebelah Balai Polis Daerah lama Melaka Tengah apabila kerja pengorekan untuk pembangunan menemukan rangka manusia. Terus ditutup sampai sekarang. Tak boleh buat.

“Jadi, berdasarkan rujukan UNESCO ini, kita sedang memikirkan jalan terbaik iaitu membangunkan Jalan Lingkaran Luar. Ia akan merangkumi projek landasan kereta api berkelajuan tinggi (HSR) yang dirancang kerajaan sebelum ini dengan sebuah stesen yang boleh menyuraikan trafik masuk ke Melaka dengan lebih mudah," katanya.

Iklan

Ujar beliau, jaringan jalan raya yang baik turut memudahkan urusan logistik bagi menyokong kegiatan ekonomi di Melaka.

“Kalau nak tanya kenapa Melaka jadi pusat pelancongan tetapi jalannya sempit, kerana kita mewarisi sejarah ini. Saya akan cuba menambah baik perancangan Melaka pada masa depan dengan melakarkan beberapa penyelesaian melalui Jalan Lingkaran Luar.

“Jalan Lingkaran Luar ini sebenarnya kita sudah mendapat projek dari Semabuk sampai ke Ayer Keroh bernilai RM400 juta yang sedang dalam pembinaan sekarang,” katanya.

Ab Rauf

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, Melaka mempunyai kira-kira 1.05 juta penduduk ketika ini, manakala jumlah penduduk di dalam bandar Melaka tidak mencecah 200,000 orang.

Ujarnya, Melaka tidak boleh dibandingkan dengan bandar di luar negara seperti Seoul, Korea Selatan yang mempunyai antara enam hingga tujuh juta penduduk dan memerlukan kaedah pengurusan trafik lebih cekap.

“Penduduk dalam bandar Melaka tak sampai 200,000 orang. Jadi, kita tidak boleh membangunkan pengangkutan awam tanpa mengambil kira keperluan dan kemampuan ekonomi untuk menampung sistem itu.

“Sedangkan kita ada bas percuma dalam Melaka yang membawa penumpang antara kawasan luar bandar dengan bandar tetapi orang tidak gunakannya kerana permintaan itu tiada.

"Ruang perkembangan ekonomi dalam bandar Melaka belum sampai ke tahap seperti bandar yang disebut tadi. Pada masa ini kita juga perlu mengambil kira keperluan UNESCO,” katanya.

Ab Rauf berkata, kerajaan negeri turut mempunyai perancangan baharu sekiranya jumlah kenderaan persendirian yang memasuki bandar semakin meningkat dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang.

Menurutnya, perancangan itu membabitkan pembangunan Straits of Melaka Waterfront Economic Zone (SM-WEZ) di sepanjang Pantai Klebang yang sedang berkembang sebagai kawasan bandar baharu.

Melaka harap kerajaan Persekutuan dapat meluluskan projek WCE bagi menghubungkan bandar-bandar di pesisir pantai menerusi lebuh raya dari Banting atau KLIA hingga ke Gelang Patah. - Gambar hiasan

Beliau berkata, kerajaan negeri berharap kerajaan Persekutuan dapat meluluskan projek Lebuhraya Pantai Barat (WCE) bagi menghubungkan bandar-bandar di pesisir pantai menerusi lebuh raya dari Banting atau Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hingga ke Gelang Patah.

“Ini banyak membantu Melaka nanti. Bukan masa sekarang, mungkin lima tahun lagi atau 10 tahun lagi.

“Itu impian saya supaya kawasan Melaka Waterfront Economic Zone ini menjadi pusat ekonomi baharu dan pusat bandar baharu dengan ibu kota Melaka diwujudkan di kawasan tersebut.

“Ini (WCE) perancangan kerajaan Persekutuan yang akan membantu menyuraikan trafik dengan lebih teratur dan terancang,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri bersedia menyediakan draf pembangunan baharu bagi menghubungkan kawasan berpotensi menjadi pusat ekonomi dengan lebuh raya berkenaan, selain memudahkan hubungan ke selatan tanah air.

Katanya, kesesakan trafik di Melaka dan di Lebuhraya Utara-Selatan semakin ketara pada Jumaat, Sabtu serta cuti umum berikutan jumlah kenderaan yang menggunakan laluan berkenaan.

“Kerajaan Persekutuan telah memberikan perhatian kepada laluan alternatif baharu melalui WCE yang sudah siap dari Banting ke Taiping, manakala laluan dari Banting akan disambung ke arah selatan.

“Saya berharap kerajaan Persekutuan dapat memberikan perhatian kepada jajaran baharu ini. Ia bukan sahaja membantu Melaka, malah turut membantu ekonomi kawasan yang dihubungkan,” katanya.