SEREMBAN - Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim memilih untuk tidak mengulas berhubung video tular memaparkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menegurnya secara terbuka di sebuah masjid di Kuala Pilah Jumaat lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh itu secara tenang dan tersenyum sebaliknya memberitahu media bahawa beliau berada dalam keadaan baik saja.
Menerusi beberapa video yang dimuat naik di media sosial, Tuanku Muhriz dilihat memberitahu sekumpulan individu bahawa Ismail menulis surat kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dengan memaklumkan bahawa baginda bukan lagi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
Tuanku Muhriz kemudian mempersoalkan tujuan Ismail mahu menghadap baginda.
“Kenapa dia mahu jumpa saya? Selagi dia tidak menarik balik apa yang dikatakannya sebelum ini, pergi,” titah baginda dalam keadaan jelas berang sebelum berpaling ke arah Ismail.
Sebagai respons, Ismail melakukan angkat sembah, iaitu gerakan tradisional ketika menghadap atau menyambut kerabat diraja.
Dalam pada itu ditanya berkenaan tarikh sidang Dewan Undangan Negeri(DUN) akan datang sama ada masih diteruskan seperti dijadualkan atau sebaliknya, beliau berkata, setakat ini masih sama iaitu pada 26 November selepas tarikh terdahulu 16 Oktober ditangguhkan.