Warga Myanmar 'DIY' pusat hiburan, 20 ditahan

Iklan
Seramai 20 warga Myanmar ditahan dalam Op Noda di sebuah premis di Nilai.

NILAI – Sebuah rumah kedai di Taman Semarak 2 di sini dikesan diubah suai secara haram untuk dijadikan pusat hiburan warga asing.

Difahamkan, premis berkenaan sebelum ini pernah disaman dan disita, namun menjalankan semula perniagaan sejak sebulan lalu.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun kegiatan itu terbongkar selepas diserbu dalam Op Noda dilakukan oleh sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai(IPD) dengan kerjasama Cawangan Khas IPD Nilai pada awal pagi Khamis.

Warga Myanmar ditahan dalam Op Noda di sebuah premis yang diubahsuai untuk dijadikan pusat hiburan.

Iklan

Ketua Polis Daerah Nilai, Superitenden Johari Yahya berkata, dalam serbuan terbabit, seramai 20 warga Myanmar termasuk 14 wanita berusia 20 hingga 40-an itu telah ditahan.

"Kesemua mereka yang dua daripadanya merupakan penjaga premis ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

Iklan

“Pemeriksaan lanjut mendapati premis itu pernah dikenakan tindakan saman dan disita pada Mac tahun lalu, tetapi disyaki telah menjalankan semula aktiviti perniagaan sejak kira-kira sebulan lalu,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, premis tersebut dipercayai memperoleh keuntungan sekitar RM400 hingga RM600 sehari, dengan pelanggan terdiri daripada warga asing yang tinggal di kawasan sekitar.

Tambahnya, dalam serbuan itu, polis turut merampas pelbagai barangan dipercayai digunakan untuk aktiviti perniagaan, antaranya peralatan audio, komputer riba, televisyen, peranti wifi, cop syarikat serta wang tunai berjumlah RM660.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1988 dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 manakala semua yang ditahan telah dibawa ke Lokap IPD Nilai untuk tujuan reman dan siasatan lanjut,"katanya.