KUALA LUMPUR - Pelaksanaan keputusan Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera ke-631 mengenai pelantikan Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan sebagai Panglima Angkatan Tentera ditangguhkan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Muhammad Hafizuddeain telah diarahkan bercuti bagi membolehkan proses siasatan pihak berkuasa dijalankan berhubung dakwaan yang telah dilaporkan melibatkan dirinya.
"Bagi memastikan kelangsungan kepimpinan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia, pemangkuan tugas Panglima Angkatan Tentera akan dilaksanakan oleh Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain selaku Panglima Tentera Laut.
"Pemangkuan tugas itu selaras dengan pengumuman yang telah dibuat pada 27 Disember lalu," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Tambahnya, Kementerian Pertahanan menegaskan bahawa semua langkah yang diambil bertujuan menjunjung kedaulatan undang-undang serta memelihara integriti Angkatan Tentera Malaysia, sambil memastikan tanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara terus dilaksanakan dengan berkesan.
27 Disember lalu, Mohamed Khaled dalam kenyataan dilaporkan berkata Muhammad Hafizuddeain akan bercuti berkuat kuasa serta-merta bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap dakwaan tertentu yang dilaporkan sebelum ini.
Langkah pentadbiran itu diambil bagi memastikan proses siasatan dapat dijalankan dengan lancar tanpa sebarang konflik kepentingan.
Sebelum ini media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan siasatan terhadap beberapa projek melibatkan Tentera Darat Malaysia (TDM) sejak 2023.
Difahamkan, fokus siasatan tertumpu kepada projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki turut mengesahkan satu kertas siasatan berhubung kes itu dibuka di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.