KUALA LUMPUR - Proses tapisan yang teliti dan menyeluruh dilaksanakan bagi memastikan hanya individu yang benar-benar layak dan berpengalaman dilantik menganggotai Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu penting bagi memastikan mereka yang diberi kepercayaan mampu memikul amanah serta memberikan sumbangan berkesan kepada sistem tadbir urus pasukan keselamatan negara.
Iklan
Iklan
"Mereka yang dipilih telah melalui proses tapisan yang teliti supaya hanya mereka yang benar-benar layak, berpengalaman dan mampu memikul amanah ini diberikan kepercayaan.
"Saya percaya gabungan pengalaman, ketegasan serta pandangan segar yang mereka bawa akan memberi nilai tambah kepada peranan IPCC sebagai badan semak dan imbang," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau terdahulu menyampaikan Surat Cara Pelantikan kepada Timbalan Pengerusi dan Anggota IPCC pada Isnin.
IPCC ialah badan pemantau bebas yang beroperasi di bawah Akta 839 sejak 1 Julai 2023, bertujuan meningkatkan integriti, menyiasat salah laku anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan mengesyorkan tindakan tatatertib.
Suruhanjaya itu menangani aduan salah laku seperti rasuah dan penyeksaan serta mengesyorkan penambahbaikan bagi meningkatkan kepercayaan awam. - Bernama