SHAH ALAM - Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) mengukir sejarah tersendiri apabila membangunkan projek hartanah wakaf berimpak tinggi menerusi pembinaan stesen minyak lengkap restoran makanan segera dua tingkat.
Pembinaan stesen minyak seluas 1.25 ekar itu dibuat di atas tanah wakaf milik Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang terletak di Lot PT 69581, HSM 28476, Mukim Dengkil, Sepang.
Ketua Pegawai Eksekutif PWS, Anuar Hamzah Toha berkata, stesen minyak dengan kerjasama Petron Malaysia yang beroperasi di Sungai Merab itu dibangun menggunakan konsep 'Dealer-Owned Dealer-Operated' (DODO) bagi memastikan pengurusan operasi mampan serta pulangan optimum kepada wakaf.
Jelas beliau, projek itu secara keseluruhan berjumlah RM9 juta untuk bangunan, infrastruktur, perunding dan lain lain, malah kos digunakan sepenuhnya daripada dana wakaf tunai orang ramai.
"Projek ini mula beroperasi pada 29 Disember dan insya-ALLAH menjadi salah satu aset wakaf strategik yang mampu menjana pendapatan berterusan, menyediakan peluang pekerjaan serta merancakkan aktiviti ekonomi setempat.
"Dengan keberhasilan projek ini, jelas bahawa PWS menitikberatkan pembangunan tanah wakaf di Selangor. Kami komited untuk terus memperkasa pembangunan wakaf secara bersepadu demi memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat serta sosioekonomi umat Islam di negeri ini.
"Menariknya manfaat bagi projek tersebut akan diserahkan semula kepada Masjid Sungai Ramal Luar sebanyak 50 peratus seperti yang diniatkan oleh pewakaf tanah sebelum ini," katanya dalam kenyataan di Facebook pada Rabu.
Anuar Hamzah turut memaklumkan, projek seumpama itu merupakan pertama kali di Selangor dan Malaysia yang dibangunkan di atas tanah wakaf.
"Pengurusan dan perniagaan stesen minyak ini dikendalikan WS Energy 1 Sdn Bhd (WSE1) iaitu anak syarikat milik penuh PWS yang ditubuhkan khusus bagi menguruskan projek pembangunan wakaf berimpak tinggi.
"Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang terlibat seperti agensi kerajaan, swasta serta masyarakat dalam merealisasikan projek ini," ujar beliau.
Dalam masa, PWS mengajak masyarakat khususnya di Selangor untuk bersama-sama melazimi ibadah wakaf kerana ia amalan yang dituntut dan menjamin ganjaran pahala berterusan.